Projek Itu Tidak Patut Dilaksanakan – Dr. Ma


Kuala Terengganu – Penduduk Taman Perumahan Jalan Cerong Lanjut bersepakat mengatakan Projek Projek Taman Puncak Panorama yang sedang dibangunkan di puncak bukit Pak Apil adalah punca menyebabkan kejiranan tersebut ditenggelami air.

Mereka yang dikunjungi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Ladang, Dato’ Tengku Hassan Omar semalam berkata sehingga minggu lalu, telah empat kali rumah mereka dilanda banjir kilat.

Manjeet Singh, Nenek Wee, Dr. Ma, Uncle Chee dan beberapa penduduk lain yang tidak sempat dicatatkan namanya telah meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap pihak berkuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Manjeet Singh berkata sepanjang beliau tinggal di kawasan itu selama lebih 30 tahun, tidak pernah berlaku banjir yang seteruk dialaminya pada tahun ini.

“Saya tinggal sini sudah lebih 30 tahun, dulu ada air naik sikit-sikit lah, tapi tahun ini, sangat teruk, air naik sehingga 3, 4 kaki.” Katanya sambil menunjukkan almari perhiasan rumahnya yang terpaksa beliau letakkan diatas kerusi.

“Dulu orang kata sediakan payung sebelum hujan, sekarang sediakan barang sebelum hujan, sebab kalau tidak siap barang, habis banjir barang jadi rosak,” tambahnya.

Seorang doktor pergigian, Dr. Ma melahirkan perasaan yang cukup tidak puas hati kepada pihak berkuasa MBKT.

“Saya sudah banyak kali, saya kata datanglah sini, korek ini longkang,”katanya sambil menunjukkan longkang hadapan rumahnya yang tersumbat akibat lumpur.

“Di belakang pun ada longkang, baru-baru ni adalah ‘cash’ mari dia korek longkang, lumpur angkat letak kat tepi longkang,

“bila hujan mari, air bawa lumpur masuk dalam longkang semula,”kata beliau.

“Iya, projek itulah yang teruk ni, dua tiga tahun lepas tak ada lah banjir macam ni, tapi tahun ini sudah empat kali, memang sebab projek itu,”kata beliau apabila ditanya adakah projek yang sedang dibangunkan diatas bukit menyebabkan berlakunya banjir.

“Saya rasa projek itu tidak patut dibuat, kalau nak rekreasi boleh pilih tempat lain, itu kawasan bukit bahaya,”tambah beliau sambil menuding jari menunjuk kawasan tarahan bukit yang jelas kelihatan dari kawasan rumahnya.

Sementara itu, seorang penduduk telah membawa Dato’ Tengku Hassan kepinggir bukit bagi melihat bagaimana salah satu sebab air mengalir dengan deras apabila hujan turun.

Menurut penduduk tersebut, sebuah jalan menuju ke sebuah rumah dekat kaki bukit diseberang jalan Cerong Lanjut menjadi ‘jambatan’ air yang terus mengalir masuk ke dalam taman perumahan itu.

Tindakan pantas ADUN Kawasan Ladang telah menelefon Timbalan Datuk Bandar Kuala Terengganu dan melaporkan perkara tersebut pihak MBKT.

“Saya baru sekejap bercakap dengan Timbalan Datuk Bandar, dia berjanji akan datang esok untuk membetulkan aliran air itu supaya masuk ke dalam longkang, bukannya mengalir melintasi jalan,”kata Tengku Hassan.

Beliau amat kesal kerana masalah banjir kilat yan melanda penduduk dikawasan itu belarutan, bahkan membahayakan kehidupan pasangan warga tua, Wee Siew Chuat, 85, yang sudah terlalu lemah untuk bertindak sekiranya banjir melanda.

Ketika ditemui, pasangan tersebut berkata mereka tidak dapat berbuat apa-apa ketika air naik, hanya mampu berlindung dengan duduk diatas katil.

Selain itu, beliau berkata beliau akan mengambil langkah-langkah perlu bagi menyelesaikan masalah penduduk di kejiranan itu.

Selain dari berbincang lanjut dengan Datuk Bandar, beliau akan meminta penjelasan kerajaan dan mengemukakan perkara tersebut dalam Sidang Dewan Undangan Negeri akan datang yang bermula dari 14 hingga 18 Disember depan.




Berwaspada - Banjir Lebih Buruk

Kuala Nerus – Seluruh penduduk negeri ini diminta berjaga-jaga dan berwaspada berikutan amaran banjir yang akan menjadi lebih buruk di Pantai Timur berikutan amaran hujan lebat peringkat jingga yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia semalam.

Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah berkata demikian ketika dihubungi selepas melawat mangsa kebakaran di Kampung Tepoh dekat sini semalam.

Belia berkata hujan lebat yang turun baru-baru ini adalah hanya peringkat awal, belum lagi masuk musim tengkujuh yang sebenarnya.

“Ia baru peringkat awal, hujan akan turun lagi dan dimaklumkan akan lebih lebat dan panjang dari sebelum ini,” katanya.

Oleh yang demikian, beliau menasihatkan supaya ibu bapa mengambil perhatian dan menjaga keselamatan anak-anak dan memastikan mereka tidak bermain air banjir berhampiran dengan sungai.

Selain itu beliau berharap bagi mereka yang tinggal di kawasan yang selalu dinaikki air akan sentiasa bersiap sedia,

“Ambil tindakan awal, kemaskan barang-barang dirumah, apabila kelihatan hujan tidak henti-henti dan air mula naik, jangan berlengah dan pergi ke pusat-pusat pemindahan dengan segera,”ujar beliau.


Sementara itu, bilik gerakan banjir negeri melaporkan sehingga semalam seramai 2,789 mangsa di negeri ini dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, namun seramai 711 penduduk di empat daerah masih berada di pusat-pusat pemindahan.

Menurut jurucakapnya jumlah berkenaan semakin berkurangan berbanding 3,500 orang yang ditempatkan di pusat-pusat berkenaan sehingga pukul 10 malam tadi.

Menurutnya, kesemua mangsa ditempatkan di 24 buah tempat pemindahan iaitu 287 di Besut, Setiu (143), Hulu Terengganu (sembilan) dan Marang (272).

Beliau memberitahu, empat jalan masih ditutup kepada semua kenderaan setelah dinaiki air iaitu Jerteh-Hulu Besut, Pengkalan Berangan-Pulau Kerengga, Jalan Sungai Tong-Pelong dan Jalan Matang-Kuala Telemong serta laluan Permaisuri-Hulu Seladang.

Ulasan