Saman Royalti Diteruskan Kerajaan Persekutuan Belum Beri Kata Putus



Kuala Terengganu – Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said mengejutkan para penyokong kerajaan apabila mendedahkan bahawa saman kerajaan negeri terhadap kerajaan Persekutuan berkaitan pembayaran royalti minyak belum ditarik balik.

(Gambar - Tun Salleh, Dato' Mustafa, Dato Senara dan Dato' Wan Mutalib pada tahun 2000 ketika sidang media berkaitan saman terhadap kerajaan persekutuan yang dikemukakan oleh kerajaan negeri Terengganu)

Kerajaan Terengganu dibawah pemerintahan PAS dalam tahun 2000 telah mengemukakan saman tersebut apabila kerajaan Persekutuan mengarahkan Petronas agar tidak membayar royalti menurut undang-undang kepada kerajaan negeri Terengganu sebagaimana perjanjian yang ditandatangani pada tahun 1974.

Tindakan Ahmad tidak menarik semua saman tersebut adalah kerana Kerajaan Pusat masih belum memberikan senarai muktamad Dana Khas Persekutuan kepada kerajaan negeri dan perkara-perkara berkaitan wang royalty masih belum selesai, walaupun kerajaan persekutuan telah bersetuju untuk memulangkan pengurusan wang tersebut.

“Setakat ini yang kita tahu, Kerajaan Pusat masih belum berikan senarai muktamad untuk Dana Khas ini. Kita harap (senarai) muktamad selesai secepat mungkin. Kita akan selesai akhir tahun ini atau awal tahun depan sebab Mac tahun depan kita akan terima wang royalti terus daripada Petronas. Kita akan selesaikan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) yang bertanyakan mengenai jumlah wang royalti yang sepatutnya diterima kerajaan negeri dari tahun 2000 hingga 2008 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-12, di sini, Ahad lalu.


Para penyokong kerajaan terkejut kerana menyangkakan saman tersebut telah ditarik balik apabila pihak media perdana menghebahkan sedemikian setelah Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan untuk menyerahkan kembali pengurusan royalti minyak kepada Terengganu pada bulan Jun lalu

Ulasan