Kuala Terengganu – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Mesyuarat Yang Ketiga Penggal Persidangan Yang Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke 12 yang bermula kelmarin menjadi perhatian pada hari ini apabila seorang wakil kerajaan mengakui bahawa projek Fertigasi Mega tidak berjaya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Nawi Mohamad memberitahu sidang DUN sekaligus mengesahkan para peserta program pertanian tersebut merungut kerana ianya adalah projek yang gagal.
”Kebetulannya di kawasan saya juga ada projek Fertigasi, hari ini bila saya berjumpa dengan peserta, mereka katakan kerajaan negeri seolah-olah menyuruh mereka berdikari, tidak ada lagi bantuan,
“kesimpulannya mereka katakan bahawa projek ini tak berapa berjaya,”ujarnya ketika mengemukakan soalan tambahan.
Sebelum itu, Exco Pertanian Negeri, Rozi Mamat telah mendedahkan RM15.5 juta telah dibelanjakan untuk projek fertigasi yang melibatkan 249 peserta dari pelbagai golongan.
Nawi juga meminta kerajaan menjelaskan apakah tindakan kerajaan terhadap projek Fertigasi Mega yang dilancarkan semasa kerajaan Terengganu dibawah pemerintahan Bekas Menteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh pada Tahun Pertanian Terengganu 2006.
“Jadi apakah langkah kerajaan bagi mempastikan perbelanjaan yang hampir RM16 juta yang melibatkan hampir 249 peserta,
”kalau dikira disitu hampir RM300,000 satu peserta, dibelanjakan untuk projek fertigasi, jadi kalau kerajaan kata supaya berdikari tidak lagi mengambil perhatian kepada projek ini, akhirnya perblanjaan RM16 juta bagi projek ini akan jadi sia-sia”tambah Nawi.
Sehubungan dengan itu Buletinonline menyiarkan satu laporan yang bertajuk yang pernah dikeluarkan oleh Institut Kajian Polisi Negerti Terengganu
KEGAGALAN TAHUN PERTANIAN 2006
________________________________________________________________________
Pendahuluan
Rancangan Pembangunan Negeri Terengganu (RPNT) 2004 – 2008, mengandungi dua belas teras hala cara pembangunan Negeri Terengganu yang dinyatakan sebagai paksi penentuan priority, didalam perlaksanaan program pembangunan, sepanjang tempoh 5 tahun.(1) Antaranya adalah menjadikan Tahun 2006 sebagai Tahun Pertanian Negeri Terengganu
Dibawah tajuk Membasmi Kemiskinan, Khususnya di Kalangan Petani dan Nelayan, Kerajaan BN Terengganu.menyasarkan seramai 10,000 orang petani, penternak dan nelayan, akan ditingkatkan pendapatan mereka sebanyak RM 500.00 setiap orang dalam sebulan, melalui fokus program/projek potfolio Pertanian dan Industri Asas Tani.(2)
Setelah hampir setahun berlalu, tidak ada sebarang laporan kemajuan terhadap perlaksanaan ‘Tahun Pertanian 2006’. Kerajaan Negeri mahupun jabatan-jabatan yang terlibat tidak dapat memberikan statistik atau data mengenai peningkatan pendapatan golongan sasar seperti yang dimaksudkan didalam RPNT.
1. Tahun Pertanian Negeri Terengganu
1.1. Tahun 2006 di war-warkan sebagai Tahun Pertanian Negeri Terengganu, yang membawa maksud bahawa Kerajaan akan memberi tumpuan kepada perlaksanaan program/ projek bagi sektor Pertanian dan Industri Asas Tani.
1.2. Objektif Tahun Pertanian Negeri Terengganu adalah meningkatkan pendapatan bagi 10,000 orang sasaran yang terdiri dari petani, penternak dan nelayan. Pendapatan bulanan mereka disasarkan dapat ditambah RM 500.00 setiap orang dalam sebulan.
1.3. Walaupun penetapan agenda ‘Tahun Pertanian Negeri Terengganu’ ini telah di buat semasa merangka RPNT 2004 - 2008, namun didapati tiada ‘Blue Print’ perlaksanaan projek/ program yang dibuat, bagi mencapai objektif yang ditetapkan.(4)
1.4. Oleh yang demikian, tiada program fokus yang khusus, sepanjang ‘Tahun Pertanian Terengganu’. Program/ projek yang disenaraikan dibawah adalah beberapa program yang bersifat ‘ad-hoc’, yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Terengganu, sepanjang tahun 2006.
2. Projek Fertigasi Mega
2.1 Dimulakan pada sekitar April/ Mei, 2006 dengan peruntukan kerajaan sebanyak RM 20 juta, yang diluluskan untuk perlaksanaan kepada Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC). Tumpuan tanaman adalah bagi penghasilan ‘Rock Melon’ (5). TADC adalah anak syarikat PERMINT yang ditubuhkan untuk tujuan pemasaran hasil pertanian.(6)
2.2 Perlaksanaan projek kemjudiannya telah diserahkan kepada Jabatan Pertanian Negeri pada bulan Oktober, 2006 kerana TADC tidak mempunyai sumber manusia dan kepakaran. Projek bernilai RM 16 juta diperuntukkan kepada daerah-daerah untuk di agihkan dalam bentuk pinjaman kepada peserta yang dipilih oleh ADUN kawasan berkenaan.
2.3 Seramai 275 peserta telah dipilih di seluruh negeri. Setiap peserta diberi pinjaman dalam bentuk barangan dan input bernilai RM 50,000.00 dan akan membayar balik 50% dari pinjaman dalam tempoh 10 tahun. Setiap peserta akan menanam sebanyak 2000 pokok..
2.4 Baki peruntukan sebanyak RM 4 juta dikekalkan kepada TADC yang melaksanakan projek tersebut secara bersendirian. Projek TADC masih dalam perlaksanaan di Telaga Papan, Setiu, Terengganu.(7)
2.5 Kontraktor perlaksanaan setiap projek dipilih oleh ADUN dan indent yang dikeluarkan adalah dengan nilai RM 49,950.00, secara pesanan belian (inden) untuk mengelakkan projek di tender.(8) Jumlah ini adalah kurang RM 50.00 dari jumlah dinyatakan diberi kepada peserta.
2.6 Pihak Jabatan Pertanian tidak dirunding didalam pemilihan peserta dan pemilihan kontraktor. Namun begitu, semua kontraktor telah dibayar jumlah sepenuhnya kos projek pada akhir tahun 2006, walaupun kerja-kerja belum disiapkan atau dilaksanakan. Perkara ini menyalahi peraturan dan satu laporan telah dibuat kepada BPR berkaitan perkara tersebut.
2.7 Tindakan pihak kewangan Negeri membayar sepenuhnya kepada kontraktor walaupun kerja belum dilaksanakan, dikatakan bagi mengelakkan peruntukan projek dikembalikan kepada kerajaan pusat (peruntukan tidak dibelanjakan)
2.8 Perkara ini berlaku kerana kelewatan perlaksanaan projek yang pada mulanya diserahkan kepada TADC, tetapi diserahkan lewat kepada Jabatan Pertanian, setelah TADC tidak mampu untuk melaksanakannya.
2.9 Fertigasi Mega adalah satu projek propaganda bertujuan meningkatkan imej kerajaan negeri yang memakai slogan ‘memahat sejarah’. Ia memang menajdi sejarah kerana kerugian yang telah dialami oleh rakyat negeri Terengganu. Projek ini dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa perancangan terperinci. Fertigasi merupakan kaedah pertanian baru yang melibatkan penggunaan teknologi.
2.10 Penyerahan projek kepada TADC untuk perlaksanaan pada peringkat awal, adalah satu kesilapan kerana TADC adalah sebuah entiti yang baru ditubuhkan yang tidak mempunyai kepakaran dan sumber manusia yang mencukupi.
2.11 Jabatan Pertanian Negeri Terengganu pula masih menjalankan kajian terhadap kaedah penanaman fertigasi. (9) Para pegawai belum didedahkan sepenuhnya kepada kaedah ini dan hampir semua pegawai dan kakitangan Jabatan, disemua pusat-pusat perlaksanaan projek Fertigasi tidak mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang cukup.
2.12 Selain itu, pemilihan para peserta dan kontraktor tanpa dirunding dengan pihak Jabatan memberi ruang kepada pengagihan projek kepada para peserta dan kontraktor yang tidak berkelayakkan.
2.13 Mengikut pendapat MARDI (10) setiap peserta hanya mampu dengan guna tenaga keluarga hanya mampu melaksanakan tanaman fertigasi sebanyak 500 pokok sahaja, sebaliknya setiap peserta diberi 2000 pokok.
2.14 Perlaksanaan projek (terbesar) di kawasan Telaga Papan, Setiu, mengesan beberapa permasalahan. Antaranya selepas sebulan ditanam, pohon masih belum berbuah dan kaedah-kaedah yang digunakan tidak selaras (11).
2.15 Projek Mega Fertigasi mengalami kegagalan dan merupakan kerugian kepada kerajaan dan rakyat Negeri Terengganu.
3. Kempen Bumi Hijau
3.1 Bumi Hijau adalah program gantian kepada Dasar Buku Hijau yang menjadi program Kementerian Pertanian. (12) Dilancarkan pada peringkat Negeri Terengganu pada akhir 2006 di Medan Jaya, Marang (13). Walaupun program ini menjadi program utama yang diputuskan kementerian, namun tidak ada peruntukan kewangan khusus bagi perlaksanaan, samada oleh pihak Kerajaan Negeri Terengganu atau pun Jabatan Pertanian Negeri Terengganu.
3.2 Sewaktu majlis pelancaran peringkat Negeri Terengganu, pelbagai jenis sayuran yang dipamerkan kelihatan ditanam dikawasan perumahan adalah sebenarnya adalah diusahakan oleh para pegawai dan kakitangan Jabatan Pertanian Negeri Terengganu
3.3 Program ini juga adalah sebenarnya satu penipuan yang jelas oleh pihak-pihak yang terbabit.. Kerajaan Negeri mahupun pihak Jabatan Pertanian Negeri tidak ada apa-apa perancangan perlaksanaan program ini.
3.4 Tinjauan dan pemerhatian telah dibuat oleh NGO Gerak Tani Sedar yang melawat tapak (Medan Jaya) telah mendapati bahawa projek Kempen Buku Hijau hanyalah satu usaha melepaskan batuk di tangga.
3.5 Apabila ditanya kepada mereka yang menyertai program itu, berapakah hasil diperolehi daripada program tersebut, mereka menjawab, program ini hanya untuk pameran dan lawatan sahaja. Sekiranya pokok sudah mati atau tidak subur, maka pegawai dari Jabatan akan datang untuk menggantikan yang baru.
4. Penanaman Pitaya (Dragon Fruit)
4.1 Penanaman Pitaya (Dragon Fruit)(14) adalah sebuah Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT)(15) yang dilaksanakan melaljui Unit Pearancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu. Peruntukan sebanyak RM 40 juta disalurkan terus daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) (16).
4.2 Pemilihan peserta yang dipilih menyertai program ini dibuat melalui Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan diajukan terus kepada UPEN. Jabatan-jabatan lain yang berkenaan dengan PPRT seperti Jabatan Pertanian dan Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak dirunding didalam perlaksanaan projek ini.
4.3 Oleh kerana ia dilaksanakan diperingkat UPEN dan terus melalui JKKK, beberapa pihak telah menyatakan tidak puas hati dan mengesyorkan supaya siasatan lanjut dibuat, kerana mungkin terdapat penyelewengan didalam pemilihan peserta.
5. Penanaman Strawberi Tanah Rendah
5.1 Pada 14hb Februari, 2007, Dato’ Rahin Said dalam kenyataannya mendakwa bahawa projek perintis penanaman penanaman strawberi dengan kaedah fertigasi di tanah rendah mengeluarkan hasil selewat-lewatnya akhir tahun ini
5.2 Beliau mendakwa bahawa projek itu adalah yang pertama di Malaysia dan Terengganu menjadi negeri pertama melaksanakan tanaman strawberi tanah rendah secara bioteknologi melalui fertigasi biohidrotronik
5.3 Pembangunan untuk pelaksanaan projek itu yang dikenali sebagai Rumah Hijau Terengganu dibangunkan pereka tempatan, Zulkifli Harun daripada Zull Design Autotronik Sdn Bhd . Projek ini dilaksanakan seluas 0.4 hektar di Kampung Bukit Jong, seluas 0.4 hektar. dengan seorang kontraktor.
5.4 Ia bukan sebuah projek Jabatan Pertanian, tetapi merupakan projek peribadi beliau dengan seorang kontraktor yang dilihat sebagai ‘kroni’. Walaupun beliau mendakwa dilaksanakan dibawah kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Wilayah.
5.5 Kos terlibat adalah sebanyak RM 220,000.00. Kos bangsal dan sistem berjumlah RM 80,000.00 (17)
5.6 Projek ini telah terbukti gagal (rujuk gambar)
6. Akuakultur - Projek Berimpak Besar (HIP) Zon Industri Akuakultur (ZIA)(18)
6.1 Program peringkat Kebangsaan HIP ZIA dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 30 Januari, 2006, di Tapak ZIA, Sungai Como, Tasik Kenyir (19)
6.2 Ia Melibatkan kawasan kira-kira 3,000 hektar termasuk 2,800 hektar kawasan perairan yang akan dibina dengan 6,000 unit sangkar bernilai RM50 juta melibatkan 240 peserta sepanjang pembangunannya sehingga 2010
6.3 Jabatan Perikanan melantik sebuah syarikat swasta bagi perlaksanaan, diagihkan kepada program Siswazah dan PPRT
6.4 Pelaksanaan projek ZIA Sg Como akan dijalankan secara sistem blok dan berkelompok.. Setiap blok mempunyai 200 sangkar dengan lapan orang peserta.
Setiap blok memerlukan kawasan seluas satu hektar iaitu 0.6 hektar sebagai kawasan ternakan. (20)
6.5 Pengarah Perikanan Negeri Munir Mohd Nawi sasarkan Terengganu mampu mengeluarkan hasil akuakultur sebanyak 40,000 tan metrik setahun menjelang 2010. Mulai tahun ini sebanyak 8,000 tan metrik dijangka dapat dihasilkan dari tasik itu
6.6 Sehingga Oktober, 2007, hanya satu blok (cluster) sahaja yang beroperasi, berbanding sasaran asal sebanyak sepuluh blok sehingga akhir 2007.
6.7 Masalah kegagalan mencapai sasaran tersebut adalah berpunca dari permasalahan tender membekalkan dan memasang sangkar. Kali pertama, tender telah dibuat pada bulan Februari, 2007. Setelah kontraktor yang berkelayakan dipilih dan dicadangkan kepada pihak atasan, ianya ditolak.
6.8 Tender kedua yang dikeluarkan kemudian juga dibatalkan kerana tidak medapat restu ‘orang politik’. Akhirnya tender tersebut telah diberi secara runding terus (direct nego) kepada TADC.(21)
6.9 Selain itu. masalah disiplin sebahagian peserta projek tersebut menggagalkan usaha pembangunan projek akuakultur dan menjejaskan pengeluaran. Para peserta dibayar elaun bulanan RM600 manakala siswazah RM1,200 tetapi para peserta dikatakan enggan memberikan komitmen sepenuhnya. (22)
6.10 RISDA pernah melaksanakan projek akuakultur di tasik Kenyir pada 2003 tetapi tidak mendapat pulangan yang memuaskan.
6.11 Antara sebab kegagalan RISDA adalah kerana faktor-faktor air tasik Kenyir terlalu panas menyebabkan ikan ‘stress’. Air juga terlalu jernih menyebabkan pancaran ‘ultra violet’ secara terus tidak membiakkan plankton
6.12 Projek ZIA Sg Como juga dikatakan menghadapi masalah air yang mengalir terlalu perlahan.
Penutup dan Kesimpulan
Setelah hampir setahun berlalu, tidak ada sebarang laporan kemajuan terhadap perlaksanaan ‘Tahun Pertanian 2006’. Kerajaan Negeri mahupun jabatan-jabatan yang terlibat tidak dapat memberikan statistik atau data mengenai peningkatan pendapatan golongan sasar seperti yang dimaksudkan didalam RPNT. Selain dari itu, pelancaran projek-projek pertanian yang lain dilihat hanya sebagai satu propaganda.
Selain itu, kerajaan dilihat masih menggunakan ‘taktik’ lama mengumpan rakyat dengan projek-projek pertanian dan menjaga ‘kroni’, JKKK dan ahli-ahli UMNO Cawangan dengan meletakkan mereka sebagai peserta kepada projek-projek tersebut.
Diperingkat negeri, penubuhan TADC merupakan alat untuk membolot projek-projek khas pertanian, bagi pihak penguasa negeri dengan tujuan yang tertentu.. Sehingga kini, semakan yang dibuat TADC terlibat dengan semua sub-sektor pertanian, pertanian, perikanan dan penternakan. TADC melaksanakan projek Mega Fertigasi, usahasama Kerapu Harimau (Baramundy) dengan syarikat dari Australia dan yang terakhir menandatangani MoU dengan MardiTech untuk ternakan kambing semasa pelancaran ECER.
Rujukan :
1. RPNT 2004-2008, Kerajaan Negeri Terengganu, diakses dari laman www.terengganu.gov.my/rpnt/KSPRPNTPESAT.pdf
2. RPNT 2004-2008, Bab II. Prestasi Sehingga Suku Tahun Pertama 2006, Perkara 9, Para 2, m.s. 12.
3. Panel Penyelidikan Sektoral Pertanian, IKPNT; Tuan Haji Mohd Said, Tuan Haji Abdul Wahab, Tuan Haji Mohd Ibrahim, Tuan Haji Zjanis, Tuan Haji Omar & Tuan Hj Salleh Farmin
4. Tuan Hj Abd Wahab, bersara dari Jabatan Pertanian Negeri Terengganu pada Februari, 2007
5. Terengganu Utamakan Pertanian Teknologi Tinggi, UKOM, boleh diakses dari laman http://www.terengganu.gov.my/ukom/berita_penuh.php?berita_kod=900
6. Fertigasi Rock Melon, GM Peladang, di akses dari laman http://www.gmpeladang.com.my/fertigasi rockmelon.htm
7. Foto-foto di rakam pada Mac, 2007, Rujuk Lampiran.
8. Kenaikan Had Nilai Dan Syarat-Syarat Pembelian Terus Bagi
Bekalan Dan Perkhidmatan, Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil. 4 Tahun 2002, dari http://www.treasury.gov.my/index.php?ch=34&pg=120&ac=58&keyword=bil
9. Sistem Tanaman Fertigasi, boleh di akses dari laman Web http://www.gmpeladang.com.my/fertigasi.htm
10. Temubual dengan Pegawai Pertanian, Stesyen Telaga Papan pada 14 Mac, 2007
11. Lawatan Tapak pada 14hb Mac, 2006
12. Utusan Malaysia, 29 Mac, 2006
13. Berita, Unit Komunikasi Negeri Terengganu, 30 Januari, 2007 di akses dari http://www.terengganu.gov.my
14. Pitaya (Dragon Fruit), boleh di akses dari laman web http://www.daleysfruit.com.au/fruit%20pages/Pitaya.htm
15. Pembasmian Kemiskinan RMK9, Institusi Pelaksana & Peruntukan, Jadual 16-9 m.s. 372.
16. EPU, JPM, boleh di akses dari laman web http://www.epu.jpm.my/
17. Terengganu Keluar Strawberi Akhir Tahun, Berita Harian, 14 Februari, 2007, boleh di akses dari laman web Jabatan Penerangan Malaysia, http://pmr.penerangan.gov.my/?action=terengganukeluar.htm
18. Projek perikanan ala Felda, Rencana Utusan Malaysia, dari laman Web http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm
19. PM Lancar Projek Akuakultur Dengan Sasaran Pendapatan RM6.3 Bilion, Berita Nasional Malaysia (Bernama) , 30 Januari, 2007
20. Tasik Kenyir Jadi Pusat Ikan Air Tawar, Tuan Azam Tuan Johan, Bernama, 24 Mac, 2006
21. Temubual dengan Pegawai Perikanan, Oktober, 2007
22. Rosol Wahid, Berita Edisi Timur, Oktober, 2007
Ulasan