PRK Bukit Gantang - PAS Terengganu Pastikan Changkat Jering Kekal Menang


Setiu – PAS Terengganu akan memastikan DUN Changkat Jering kekal menang dibawah PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil (PRK) parlimen Bukit Gantang yang akan diadakan pada 7 April akan datang.

“InsyaAllah, petugas-petugas kita akan menjalankan tugas berkempen dan memastikan kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat dalam DUN Changkat Jering dengan undi meningkat,

“kita akan menyampaikan penerangan kepada seluruh pengundi kawasan tersebut untuk menolak pengkhianat yang melompat,”kata Ketua Penerangan PAS Terengganu, Hj Muhyidin Rashid selepas Majlis Penerangan di Kampung Darat Batu Rakit, dekat sini semalam.

Menurut beliau perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat peringkat negeri yang diadakan kelmarin.

Beliau berkata, bagi melaksanakan amanah itu, satu pasukan akan berlepas ke DUN Changkat Jering secepat mungkin untuk meninjau dan mengenalpasti keperluan sepanjang waktu kempen.

Katanya para petugas PAS Terengganu akan diletakkan sepenuh masa di kawasan enam peti undi dalam DUN terbabit.

“Pasukan peninjau kita sudah bersedia dan akan berlepas bila-bila masa ke Changkat Jering,

“enam peti undi menjadi fokus kita, segala keperluan akan dikenalpasti selepas pasukan tersebut kembali minggu depan,”ujarnya kepada Buletinonline.

Katanya sekurang-kurangnya seramai 25 orang petugas akan ditempatkan disetiap peti undi dan membuat persiapan lebih awal di peti undi berkenaan bermula 6 Mac.

Oleh itu katanya seramai 150 petugas paling minima akan dihantar sepanjang sebulan sehingga hari mengundi pada 7 April nanti.

Beliau menyeru kepada semua petugas supaya bersedia untuk memberikan khidmat terbaik sebagaimana negeri-negeri dan kawasan lain memberikan sumbangan mereka dalam PRK Kuala Terengganu bulan lalu.

“Inilah masanya untuk petugas-petugas kita membalas budi para petugas dari negeri dan kawasan diseluruh negara yang membantu kita (dalam PRK KT),

“mereka bertungkus lumus, siang dan malam, menyumbang tenaga dan wang ringgit, begitu jugalah kita harus berkhidmat,”tegasnya.

Justeru katanya, semua petugas PAS Terengganu agar dapat menghubungi kawasan masing-masing supaya penyelarasan dapat dibuat segera.

Sebelum itu, dalam ceramah penerangannya beliau berkata kerajaan persekutuan dalam kempen pilihanraya kecil Kuala Terengganu baru-baru ini berjanji akan membayar wang royalti dalam bulan Mac depan.

Namun, katanya, sehingga kini belum nampak kepastian wang tersebut akan bnar-benar diserahkan kepada kerajaan negeri Terengganu.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ahi Jawatankuasa PAS Setiu, Hj Shamsudin Wahab dan penceramah jemputan Ustaz Shahril Long.





Ulasan