Kebanjiran Pekerja Asing Angkara Kerajaan UMNO/BN

Kemaman – Kebanjiran pekerja asing di Malaysia adalah angkara kerajaan Barisan Nasional (BN) dan pemimpin UMNO yang berniaga mengaut keuntungan dengan ‘berniaga orang’.

“Kelmarin kita dengar, Encik Talaat Mahmud Khan Penasihat Buruh Suruhanjaya Tinggi Bangladesh kata, ada 70,000 orang Bangladesh yang sudah ada visa tengah tunggu nak masuk Malaysia nak kerja,

“orang tengah kena buang kerja, kita nak ambil Bangladesh masuk, Syed Hamid pun kelam kabut, (dia kata) bukan zaman saya lulus tu, itu orang lama dulu,

“orang lama pun UMNO juga !,”kata Hj Muhyidin Rashid, Ketua Penerangan PAS Terengganu dalam ceramah penerangan di Kampung Paya Berenjut, Kemaman, semalam.

Menurut beliau, visa pekerja seramai 70,000 yang telah dikeluarkan itu, dibatalkan semula apabila pelbagai lapisan rakyat membantah.

Namun katanya, sebanyak 500,000 visa yang telah dikeluarkan untuk pekerja Bangladesh dan 100,000 visa untuk pekerja Pakistan telah dikeluarkan sebelum ini .

Katanya kebanjiran pekerja asing berlaku kerana kerajaan Malaysia mendapat pendapatan dengan memberi kelulusan ‘permit’ membawa masuk pekerja asing.

“Kerajaan beri permit masuk, seorang pekerja Bangladesh masuk kena bayar antara RM10,000 hingga RM15,000,

“kerajaan berniaga orang, sebab itu kerajaan beri (pekerja asing) masuk, sebab ada duit masuk,”tegas beliau.

Dalam masa yang sama, katanya, antara bulan Januari hingga Februari tahun ini seramai 20,000 orang rakyat Malaysia telah dibuang kerja.

Namun begitu, tambah Hj Muhyidin, kerajaan membiarkan sahaja dan tidak peduli masalah rakyat tempatan yang dibuang kerja itu.



Ulasan