Ladang Padi, Mad Said ‘Lebong’ Lagi


Kuala Terengganu – Jelapang padi Mak Jintan telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi hampir setahun lalu.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dalam sidang media minggu lalu berkata projek penanaman padi di Mak Jintan sedang berjalan.

“Untuk permulaan ini kita nak buka ladang kita di Mak Jintan, di kawasan Setiu,

“sekarang ni kerja-kerja sedang berjalan, untuk 1500 ekar dulu, di jangka dalam masa sebulan lagi, bulan 3 (Mac) atau bulan 4 (April), 100 ekar pertama akan mula ditanam, oleh petani kampung,

“kemudian kita akan teruskan program ini menjadi 1500 ekar, program ladang padi ini, yang akan kita berikan kepada petani 10 ekar seorang,”katanya kepada wartawan selepas mesyuarat mingguan Exco, minggu lalu.

Namun begitu, jawapan yang diberikan petani terbabit, amat jauh berbeza dengan apa yang diperkatakan oleh Ahmad.

“Tak dok lagi, hok yang nak beri petani 10 ekar seorang tu, tak dok lagi, tak dok gapo lagi,

“yang ni nok buat hok asal, hok orang rentah 30 tahun dulu doh,”kata Abdul Rahman Awang Nor, 59 tahun, ketika tinjauan Buletinonline ke lokasi berkenaan semalam.

Beliau yang dikenali sebagai Pak De telah menetap di kampung Jelapang sejak 34 tahun lalu.

Katanya kampung Jelapang yang bersebelahan dengan kawasan Mak Jintan dibuka kira-kira 45 tahun yang lalu.

Menurutnya, beliau adalah peserta penanaman padi kelompok di kawsan tersebut yang mula diusahakan sejak tahun 1989.

Katanya kawasan padi seluas 1500 ekar yang di uar-uarkan akan dibuka dan diberikan kepada peserta seluas 10 ekar setiap orang belum lagi diusahakan.

“Hok kata nak buka lagi tu hok sebelah alik sana sungai, tempat dia buat hari tu (perasmian oleh Perdana Menteri), belah alik atas lagi,”katanya.

Malah, menurut Pak De, rancangan untuk menanam padi di kawasan asal seluas 80 hektar, mungkin tidak dapat dilaksanakan.

Ia adalah kerana, katanya, kawasan tersebut dilanda banjir akibat hujan lebat baru-baru ini.

“Untuk belah sini pun (kawasan asal) belum tahu boleh buat mengikut ‘target’ yang dia nak, dia nak dalam bulan 3 (Mac) atau bulan 4 (April),

“dalam bulan 3 (Mac) ni, dua kali air banjir doh, awal bulan baru ni, 3 hari mari (air banjir), lekat seminggu,

“Lepas tu, (hujan) dua hari lepas, tenggelam pula,”ujar beliau.
Katanya pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah meminta para petani untuk mengusahakan padi atas tanah lama.

Katanya tanaman padi akan diusahakan masing-masing mengikut keluasan tanah ‘rentahan’ dan bukan seluas 10 ekar seorang.

“Untuk hok ni, hok dia (Ahmad Said) suruh tengok tu untuk hok ni lah, hok 10 ekar seorang tu dok lagi,

“Hok tu tak tahu lagi bila, bulan 3 (Mac) tahun depan pun tak pasti lagi, belakang tu hutan lagi, nak perata, nak batas, nak taliair, panjang lagi, ”tegasnya yang akan turut mengusahakan kira-kira 15 ekar tanah dengan tanaman padi.

Seorang lagi petani yang ditemui turut mengesahkan usaha penanaman padi akan dibuat atas tanah rentahan lama yang telah diusahakan, bukan atas tanah rancangan baru.

Beliau yang tidak mahu bahkan menolak rancangan kerajaan untuk memberi 10 ekar seorang bagi diusahakan oleh petani.

“Hok 10 ekar seorang tu, tak dok orang nak, sebab dia tak beri hak milik atas tanah tu,
“kalau tahun ni kita usahakan, tahun depan kita tak ushakan, tanah tu akan diberi kepada orang lain,

“Tak dok orang nok hok gitu,”tambahnya.

Tinjauan Buletinonline juga mendapati projek yang sedang dijalankan dikawasan itu bukan dinamakan sebagai “Ladang Padi Mak Jintan” sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri Besar.

Sebuah papan tanda bertulis “Kelompok Tanaman Padi Sri Cempaka, Kampung Jelapang,” terdapat dihujung kampung tersebut.

Pojek tersebut dinyatakan telah bermula pada tahun 1989, berkeluasan 200 ekar (80.0 hektar) dan akan diusahakan oleh 88 orang petani.

Ulasan