Sidang Tergempar DUN Perak DiBawah Pokok



Persidangan DUN Tergempar Lulus Tiga Usul

IPOH, 3 Mac – Persidangan DUN Tergempar Dewan Undangan Negeri Perak yang berlangsung hari ini di bawah pokok 100 meter dari bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Dewan Undangan Negeri Perak, meluluskan tiga usul.

Usul-usul itu ialah menyatakan sokongan kepada Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar; membubarkan Dewan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan; dan mengesahkan keputusan Speaker V. Sivakumar melarang Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exco kerajaan negeri daripada menghadiri persidangan dewan.

Persidangan itu, yang berlangsung selama 30 minit bermula 10.20 pagi, dihadiri semua 27 ADUN PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat.

Usul pertama dibentangkan oleh wakil rakyat Titi Serong, Khalil Idham Lim, usul kedua oleh ADUN Teja, Chang Lih Kang, dan satu lagi oleh ADUN Pantai Remis, Datuk Ngeh Koo Ham. Mesyuarat itu ditangguhkan pada 10.33 pagi.

Persidangan yang dipanggil oleh Sivakumar itu diadakan di situ selepas polis menghalang beliau dan 27 ADUN pembangkang daripada memasuki Dewan.

Persidangan yang berlangsung sambil wakil-wakil rakyat terbabit berdiri dan ia dijalankan dengan bantuan Setiausaha Dewan yang baru dilantik semalam, Mohd Misbahul Munir Masduki, dengan penggunaan alat pembesar suara.

Kawasan persidangan yang berlangsung di sebuah lorong itu dipagari oleh sekumpulan penyokong pembangkang manakala lebih 200 orang berada di sekitar kawasan berkenaan.

Bernama melaporkan, ia kemudiannya disusuli sidang akhbar di pejabat DAP Perak yang terletak berhampiran.

Pada sidang akhbar itu Mohammad Nizar berkata beliau akan memohon perkenan untuk menghadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah secepat mungkin bagi mempersembahkan keputusan Dewan hari ini untuk membubarkan DUN Perak.

Ketika ditanya apakah tindakan seterusnya jika Sultan Azlan enggan memperkenankan pembubaran DUN, Mohammad Nizar berkata jika pembubaran dewan tidak dilaksanakan, ia akan hanya menyebabkan krisis perlembagaan kini berpanjangan sekaligus menjejaskan kestabilan politik, ekonomi dan sosial di Perak.

"Jadi, kami menyampaikan hasrat rakyat Perak agar Tuanku mendengar suara rakyat dan membubarkan dewan," katanya.

Apabila diberitahu bahawa beberapa ADUN dari Barisan Nasional mendakwa tidak menerima sebarang notis daripada Setiausaha Dewan mengenai persidangan hari ini, Mohammad Nizar berkata Speaker telah memaklumkannya kepada semua ADUN.

Dato’ Ngeh pula meminta Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Zambry supaya bersetuju dengan pembubaran dewan kerana, menurutnya, itu adalah satu-satunya penyelesaian segera terhadap masalah dan krisis yang berlaku kini.

Beliau berkata laporan polis akan dibuat terhadap polis, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Abdul Rahman Hashim serta kakitangan awam yang terlibat menghalang sidang tergempar hari ini, kerana menghina.




Ulasan