Penebangan Balak dan Pemusnahan Bakau; Pulau Redang Sedang Di ‘Tarah’



Kuala Terengganu – Projek pembangunan yang sedang berlaku di Pulau Redang adalah ‘penarahan’ dan penghapusan keindahan alam semulajadi Pulau itu.

Penebangan balak dan pemusnahan hutan paya bakau, kesan dari pembangunan akan mencacatkan pandangan ‘kehijauan’ terhadap pulau itu.

Pulau yang terkenal dengan Taman Laut yang tercantik didunia itu kini menghadapi ancaman yang serius.

Para pelancong yang berkunjung ke Pulau Redang turut terkejut dengan aktiviti ‘rakus’ yang terus menerus mengancam dan memusnahkan ekologi persekitaran.

Apatah lagi pembangunan yang sedang dilaksanakan terletak berhadapan dengan Taman Laut Pulau tersebut.


Projek naik taraf landasan terbang yang sedang dilaksanakan menyebabkan pemusnahan hutan paya bakau disepanjang sungai Redang.

Spesis bakau ‘Rhizophora Apiculata’ yang terdapat di Pulau Redang telah terancam sejak pembinaan padang golf, lebih sepuluh tahun lalu.

Pokok bakau amat berguna sebagai zon pengadang dan kawasan pembiakan semulajadi pelbagai hidupan laut.

Ia mengalami pemusnahan kali kedua apabila padang golf digantikan dengan pembinaan landasan terbang sekitar tahun 2001.

Lokasi dan perlaksanaan projek pembangunan bekalan air bersih untuk Teluk Kalong dan Pasir Panjang wajar dipertikaikan.

Kerajaan sepatutnya mengelak dari membangunkan kawasan yang terletak begitu hampir Taman Laut.

Hakisan yang berlaku akan mengalirkan air lumpur terus ke dalam taman laut dan mengancam batu karang serta flora dan fauna yang menjadi tarikan.

Pemilihan lokasi yang melibatkan penebangan kayu balak disebalik pembersihan lokasi untuk projek bekalan air itu juga menimbulkan keraguan.

Sudah tentu ada pihak yang sudah lama mengintai keuntungan, hasil dari penebangan hutan pinggir pantai di pulau itu !


Ulasan