Tidak Mahu Bertanding di Penanti, Alasan BN Yang Sengaja Diada-adakan


Kuala Terengganu – Tindakan Barisan Nasional (BN) yang mungkin tidak akan bertanding pada pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Penanti, Pulau Pinang, disifatkan sebagai sekadar satu alasan yang sengaja diada-adakan.

Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat, Dato’ Mustafa Ali turut menyelar kenyataan yang menyebut bahawa perletakan jawatan bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin tidak mengikut perlembagaan.

“ Tidak betul, setiap orang wakil rakyat yang dipilih, dari segi perlembagaan dia boleh hendak meletakkan jawatan,

“tidak ada masalah, bila dia merasakan ada sesuatu yang dia bertanggungjawab untuk berbuat demikian,”katanya yang ditemui pihak media di Pejabat Perhubungan PAS, disini semalam.

Menurutnya, sudah ada kes ikutan (precedent case) dalam UMNO dulu, dimana Dato’ Shahrir Abdul Samad meletakkan jawatan dan bertanding semula.

Katanya, Shahrir yang juga ahli parlimen Johor Baharu, meletakkan jawatan tanpa sebab kecuali mahu menyatakan rasa tidak setuju kepada pemimpin UMNO pada waktu itu.

“jadi dia letak jawatan, serahkan kembali kepada rakyat, pastikan ia sebagai satu suara rakyat, setuju atau tidak dengan pimpinan yang ada,

“dan dia menang dalam pilihanraya kecil itu, nak menunjukkan bahawa rakyat tidak setuju dengan cara pimpinan menangani keadaan politik dan pentadbiran negara pada waktu itu,”jelasnya

Mengulas lanjut isu DUN Penanti, beliau menegaskan, mungkin ada sebab-sebab yang munasabah yang menyebabkan Fairus dan dipersetujui oleh PKR untuk beliau meletakkan jawatan dan bertanding semula.

Katanya, bukannya suatu perkara yang mudah bagi satu-satu parti, bagi seseorang tanpa apa-apa sebab meletakkan jawatan.

“Sebab parti menghadapi risiko bila ada pertandingan ada menang ada kalah, kalau kalah dalam pilihanraya, ertinya hilang satu keusi, kalau menang hanya balik kepada status quo, balik kepada asal, tidak ada untung apa-apa,”ujar beliau

Beliau turut meragui kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak, tentang masalah terlalu banyak masa dan kewangan yang dibelanjakan untuk mengadakan satu pilihanraya kecil.



Beliau menyifatkan kenyataan Najib itu sebagai tidak ikhlas kerana lebih banyak wang kerajaan sebenarnya yang dibelanjakan secara membazir bukan untuk kepentingan rakyat secara langsung.

“Kalau nak dibandingkan berapa banyak, ratusan juta duit kerajaan yang digunakan (secara) membazir bukan untuk kepentingan rakyat secara langsung,

“sebagai contoh di Terengganu, Piala Monsun dan pembangunan Pulau Duyung,”kata beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu.

Beliau berkata, kos pengurusan pilihanraya boleh dikurangkan jika Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mahu.

“Saya tidak nampak bagaimana kos (pilihanraya) ini jadi tinggi, misalnya pada pilihanraya kecil Kuala Terengganu, saya pun terkejut bagaimana SPR dan polis boleh membelanjakan sehingga RM15 juta,

“tak perlu polis ramai-ramai begitu, polis dalam negeri Terengganu pun cukup, tak perlu buat Markaz Tektikal,”tegasnya yang pernah memberi jaminan kepada kerajaan bahawa situasi pilihanraya kecil Kuala Terengganu adalah selamat dan tidak mungkin berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.

Katanya apa yang berlaku adalah kerana andaian-andaian yang tidak tepat oleh pihak kerajaan, kecuali pada pilihanraya kecil Batang Ai yang boleh difahami, memerlukan perbelanjaan lebih besar kerana berada jauh di pedalaman.

Beliau merasakan pilihanraya kecil DUN Penanti juga tidak akan berlaku sebarang masalah dan menegaskan kerajaan tidak perlu menghantar petugas keselamatan yang terlalu ramai.

“Kita buat berlebih-lebihan,memberikan andaian yang salah, malah sebenarnya saya rasa mungkin dia (kerajaan) buat demikian ada matlamat, matlamat saikologi, bila polis ramai akan menakutkan orang, lagi tak baik bagi demokrasi,”

“Duit rugi, anggapan salah, dan tak perlu benda-benda macam ini, SPR boleh buat biasa, polis boleh buat biasa,

“tidak perlu bimbang, tidak perlu takut, ini sengaja diada-adakan,”tambahnya

Ulasan