DUN Chukai Lancarkan Kempen Kumpul 10,000 Tandatangan


KEMAMAN – Majlis Tindakan DUN (MTD) Chukai melancarkan Kempen menghimpunkan 10,000 tandatangan bantahan bagi menghantar satu memorandum mempercepatkan pembinaan jambatan Bukit Kuang ke Bakau Tinggi.

Pengerusi MTD Chukai, Haji Hanafiah Ramly berkata demikian dalam ucapannya di Majlis “1Malaysia Gelap Gelita”, disini, kelmarin.

“Mulai besok, saya akan kempen di seluruh Kemaman, kempen untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 10,000 tandatangan,

“bagi memastikan satu memorandum dihantar kepada Perdana Menteri Malaysia supaya mempercepatkan pembinaan jambatan Bukit Kuang,”jelasnya.

Menurutnya, jawapan yang diberikan oleh kerajaan dalam sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, pembinaan jambatan itu akan dimasukkan dalam program ECER.

Padahal, katanya, pembinaan jambatan tersebut telah dirancang sejak tahun 2000 dan telah diluluskan oleh kerajaan.

Katanya kelewatan pembinaan jambatan tersebut telah menyebabkan kegelisahan dan kesusahan kepada warga Kemaman.

“Kalau beri (pembinaan) kepada ECER, maka berecer (lambat) lah dia, kami mahu kerjasama dari seluruh warga Kemaman,

“untuk menurunkan tandatangan bagi menyatakan kegelisahan kerana terpaksa lalu jambatan satu lorong sahaja,”katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang dihubungi Buletinonline semalam berkata, rekod Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu menunjukkan Tender pembinaan jambatan di Sec 392 Laluan Ft 03 (Bukit Kuang - Bakau Tinggi) tersebut telah dikeluarkan pada 19 September, 2006 dan ia dijangka siap pada 14 Disember, 2009.

“Tender itu telah ditutup dan sebuah syarikat yang bernama Marimas Sdn Bhd telah mendapat tender kerja-kerja membina jalan dan jambatan yang bernilai RM 30.4 juta itu,

“projek tersebut telah disenaraikan di bawah Rancangan Malaysia Ke 9, dimana Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU-JPM) telah menyenaraikan projek membina jambatan Bukit Kuang - Bakau Tinggi dan diluluskan untuk dikeluarkan tender pada 18 Julai, 2006,”katanya yang menambah, pihak ICU Terengganu turut menyenaraikan projek tersebut sebagai projek No. 5 yang mempunyai keutamaannya.

Katanya penganugerahan projek pembinaan jambatan tersebut kepada Marimas Sdn Bhd telah disahkan oleh JKR Terengganu melalui dokumen yang dikeluarkan.

Malangnya kata beliau, sehingga hari ini, warga Chukai khususnya yang bekerja di sebelah utara bandar Chukai, samada di Teluk Kalong, Kerteh dan sebagainya, terpaksa menghadapi detik-detik mencabar pagi dan petang ketika waktu hendak pergi dan balik kerja.

“Kenderan terpaksa beratur untuk merentasi jambatan sempit yang memang tidak relevan lagi dengan kemajuan sekarang,

“kita tidak tahu, mengapakan kerajaan masih tidak memulakan kerja-kerja pembinaan jambatan itu dan sehingga kini ia masih disenaraikan sebagai projek yang belum dimulakan, “katanya


Ulasan