Idea Penubuhan Kerajaan Perpaduan Akan Terus Dibincangkan



KUALA TERENGGANU
– Penolakan idea penubuhan kerajaan perpaduan dengan UMNO dan Barisan Nasional adalah keputusan bersama parti-parti dalam Pakatan Rakyat (PR) setelah Majlis Pimpinan PR bermesyuarat.


Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat, Dato' Ustaz harun Taib menolak dakwaan sesetengah pihak, PAS tunduk dengan Parti Keadilan Rakyat dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dalam isu penolakan idea tersebut.

”Itu keputusan kita bersama-sama dengan parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat, PKR dan DAP, berdasarkan kepada situasi dan keadaan yang ada itu dan berdasarkan kepada konsep kerajaan perpaduan,”katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Harian PAS negeri Terengganu di Pejabat PAS disini hari ini.

Beliau berkata penolakan itu kerana semua parti dalam PR bersetuju idea kerajaan perpaduan tidak perlu disegerakan.

Katanya atas dasar setiakawan dalam PR semua pihak setuju ia ditangguhkan dahulu namun pemikiran dan perbincangan tentang idea kerajaan perpaduan akan terus berlaku.

”Walaupun tidak dilaksanakan, pemikiran tentang kerajaan perpaduan akan terus ada dalam pemikiran orang,

”dalam persetujuan bersama yang ditandatangani itu, dalam perkara ketiga, mana-mana parti dibebaskan (bebas) dibenarkan untuk mengadakan apa-apa hubungan (untuk perbincangan) dengan tujuan kebaikan untuk Negara, dengan mana-mana pihak sekalipun,”jelasnya

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu berkata pihaknya bersetuju dengan apa-apa yang diputuskan oleh parti termasuk perkara berkaitan kerajaan perpaduan.

”Apa-apa yang dipersetujui oleh Presiden yang tidak bertentang dengan dasar parti, maka kita bersetuju,”katanya

Ulasan