Ketua Pemuda PAS Terengganu YB Ustaz Mohd Nor Hamzah (gambar kiri) berkata UMNO/BN menghadapi pelbagai masalah, termasuk perpecahan dalaman parti itu ditambah dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Beliau berkata, UMNO/BN Terengganu turut pening kepala kerana bayaran royalti minyak masih lagi belum dipulangkan kepangkuan kerajaan negeri.
”Sehingga tahun 2008 ini, royalti minyak tidak lagi diserah kepada kerajaan negeri Terengganu, sehingga hari ini Ahmad Said (Dato’ Menteri Besar) pening kepala,
”Nak (Untuk) mentadbir (negeri), UMNO tak boleh mentadbir (dengan baik), (kerana) dia (UMNO) mentadbir dengan pitih,”katanya.
Menurutnya, keadaan berbeza semasa PAS memerintah Terengganu dibawah pimpinan Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Katanya walaupun wang royalti dirampas, PAS mampu mentadbir sehingga tahun 2004 dan boleh menguruskan negeri sekiranya diberi mandat oleh rakyat.
”dan InsyaAllah sekiranya (diberi mandat) dan kita (PAS) menang, kita mampu mencari wang (sumber pendapatan) dan mampu mengurus dengan baik,”jelasnya.
Mengulas isu terkini, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Payung berkata, akibat hampir tumbang, UMNO/BN menjadi lemah dan mengharapkan kerjasama dengan PAS.
Kerana terlalu terdesak, katanya, pemimpin UMNO pantang mendengar pelawaan dari PAS, termasuk pelawaan yang dibuat oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini.
”Tak boleh hulur (pelawa) langsung (untuk kerjasama), Tok Guru Nik Aziz kata nak kerjasama dengan kerajaan pusat, (terus menjawab ya) ha, kita akan bincang, kita akan bincang,
”Tak boleh berbunyi (bersuara) sikit, nak kerjasama, hah… nak selalu (serta merta),”ujarnya.dalam Majlis Penerangan di Taman Islam Kemaman..
Katanya, pelawaan yang dibuat Tok Guru Nik Aziz itu hanyalah satu helah untuk melihat sikap sebenar pemimpin UMNO.
Tindakan pemimpin UMNO menghebahkan perkara tersebut dalam media massa, katanya, mendedahkan keadaan UMNO yang tenat, dihinggapi pelbagai ‘penyakit’ akibat kemelut politik yang melanda parti itu.
Oleh yang demikian, menurutnya agenda 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak telah tersasar dari perjuangan UMNO yang mementingkan orang Melayu.
”Dengan agenda 1Malaysia (dan) kita lihat (dalam) seratus hari pemerintahan (Perdana Menteri) Najib, dia sudah lupa kepada orang Melayu (yang diperjuangkan UMNO selama ini),”katanya.
UMNO mengaku silap kerana tidak 'Dengar suara rakyat'
KUALA TERENGGANU – UMNO Terengganu mengakui melakukan kesilapan dalam melaksanakan projek pembangunan kerana tidak mendengar suara rakyat bawahan.
Setiausaha Perhubungan UMNO Terengganu Datuk Tengku Putera Awang berkata suara rakyat penting dalam memastikan pembangunan yang dijalankan bukan saja mendatangkan hasil kepada ekonomi kerajaan negeri, tetapi dapat dinikmati dan dimanfaatkan rakyat untuk jangka masa panjang.
Beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri ( Speaker DUN) berkata semua wakil rakyat diingatkan supaya mendengar suara rakyat setempat terutama pandangan mereka terhadap setiap projek pembangunan dirancang kerajaan negeri, bagi memastikan semua perancangan dilaksanakan memberi manfaat dan dapat dinikmati semua golongan.
Beliau berkata, pengalaman sebagai bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Exco) banyak memberi pengajaran kerana ada kalanya pendapat disuarakan masyarakat di peringkat akar umbi lebih bernas berbanding pendapat pakar dalam sesuatu bidang.
"Saya masih ingat, pembinaan benteng pemecah ombak di Merang, Setiu dulu mendapat bantahan daripada penduduk setempat kerana ia dikhuatiri hanya mampu bertahan beberapa ketika.
"Bagaimanapun, pembinaan tetap diteruskan dan terbukti walaupun sudah melalui kajian dan nasihat dari pakar berkaitan, ia roboh dan tetap tidak boleh pakai.
"Daripada pengalaman ini kita boleh lihat bahawa pendapat dan suara rakyat sangat bernilai untuk membantu kerajaan negeri membangunkan negeri seiring dengan pendekatan merakyatkan pembangunan yang dilaungkan kerajaan negeri," katanya kepada pihak media sempena Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun DUN Terengganu di sini, semalam.
UMNO Cawangan Felda Belara Engkar Arahan Polis
KUALA NERUS – Walaupun diarahkan pihak polis supaya tidak mengadakan sebarang himpunan, namun kira-kira 200 peneroka termasuk generasi kedua komuniti Felda Belara tetap berhimpun bagi membantah tindakan pihak pengurusan Felda.
Perhimpunan diperkarangan masjid itu diadakan, sebaik sahaja semua media yang datang beredar dari lokasi asal, di Balairaya penempatan tersebut.
Sumber Sinar Harian memberitahu, himpunan tersebut bertujuan membantah Pengurus Felda khususnya, didakwa sering melaksanakan pembangunan yang tidak sehaluan dengan kehendak penduduk.
Beberapa helai kain rentang telah dinaikkan mendesak pihak pengurusan tertinggi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menukar Pengurus Rancangan Felda terbabit.
Ketua UMNO Cawangan Felda Belara yang turut menyertai himpunan itu, Abd Rashid Embong, 70, berkata, Pengurus sedia ada hanya pentingkan diri sendiri.
Sikap Pengurus itu semakin ‘melebih-lebih’ apabila beliau didakwa sering membuat keputusan sendiri tanpa berbincang dengan penduduk.
“sikap pentingkan diri itu menyebabkan timbul pelbagai masalah terutama membabitkan generasi baru Felda yang tidak berpuas hati dengan tindakan pengurus berkenaan.
“Justeru, kami sepakat untuk mengadakan perhimpunan ini bagi menggesa pihak berkenaan supaya menggantikan segera pengurus itu,” katanya.
Seorang peneroka, Mohd Abu Bakar, 66, berkata, Pengurus menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab apabila menyalahgunakan amanahuntuk kepentingan diri semata-mata.
“Apa yang paling kami kesalkan apabila dia menggunakan jawatannya untuk berbuat sesuka hati tanpa mengambil kira kepentingan penduduk lain,
“Malah, dia bertindak menceroboh tanah sawit milik saya dengan mengorek lubang untuk kolam ternakan ikan tanpa pengetahuan saya, “katanya
KUALA TERENGGANU – Satu laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan pembahagian pangsapuri mampu milik Pulau Duyong, dekat sini.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu, Cikgu Fariz Musa berkata laporan dibuat berdasarkan dokumen yang dihantar kepadanya oleh pihak yang tidak diketahui.
Menurutnya, setelah beliau meneliti isi dokumen itu, beliau dapati telah berlaku ketidakadilan dan penyelewengan oleh pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Cawangan UMNO Pulau Duyong.
”Saya dapati terdapat 3 dokumen, sepucuk surat, satu lampiran senarai nama penyewa-penyewa dan satu lampiran senarai penama-penama yang sepatunya tidak layak,
”surat tersebut memohon saya bertindak isu berkaitan penyelewengan tersebut,”kata Fariz dalam sidang media yang diadakan di hadapan pejabat SPRM, Tingkat 11, Wisma Persekutuan, semalam.
Beliau berharap pihak SPRM dapat mengambil tindakan dan menyelesaikan kes tersebut yang melibatkan dua blok bangunan yang telah diagihkan kepada 90 orang.
Katanya dokumen lampiran tersebut memperincikan sebab mengapa penerima tidak layak menyewa pangsapuri itu.
”(sebagai contoh rumah) J-3-4 dimana pemilik tersebut adalah merupakan ayah kepada pengerusi JKKK Duyong Kelab Aya,
”dimana beliau sebagai pengerusi JKKK telah memberikan rumah tersebut kepada ayahnya dan (sedangkan) ayahnya telah memiliki rumah (lain),
”dalam masa yang sama rumah itu tidak didiami oleh ayahnya, (sebaliknya) didiami oleh anaknya (pengerusi JKKK tersebut,”jelasnya.
Katanya, dalam dokumen tersebut juga menyatakan, ramai penerima pangsapuri itu mempunyai hubungan dengan JKKK dan beberapa cawangan UMNO di Pulau Duyong.
Oleh itu katanya, beliau melihat pengagihan pangsapuri mampu milik itu telah berlaku penyelewengan dan ketidakadilan.
”Pengagihan pangsapuri mampu milik Pulau Duyong ini telah berlaku penyelewengan dan ketidakadilan,
”sebab itu kami, pada hari ini mengambil tindakan untuk membuat laporan SPRM dan meminta pihak SPRM mengambil tindakan tegas untuk menyiasat,”tegasnya.
Dalam masa yang sama, beliau turut meminta supaya siasatan dibuat terhadap pembahagian Blok yang baru diedarkan pada hari ini.
Ulasan