PRK DUN Bagan Pinang; Pemuda PAS Terengganu Turun Buat Tinjauan Awal

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita10/pemudaterengganuturunbpinang.gifKUALA TERENGGANU – Pilihanraya Kecil Bagan Pinang di Negeri Sembilan akan diadakan berikutan Kerusi DUN tersebut kosong ekoran penyandangnya, Azman Mohammad Noor dari Barisan Nasional meninggal dunia pada 4 September baru-baru ini.

Justeru, Pemuda PAS Terengganu mengambil langkah awal untuk turun ke DUN Bagan Pinang esok, 9 September, bagi membuat tinjauan awal.

”Lusa (esok) kita akan turun ke (DUN) Bagan Pinang untuk tinjauan kawasan di sana, bermesyuarat dengan pemuda disana dan kita akan tengok apa yang kita boleh bantu, komitmen kita sangat kuat,” kata Timbalan Ketua Pemuda Terengganu, Ustaz Wan Shukairi Wan Abdullah.

Menurutnya, beliau yakin PAS bakal menang dalam pilihanraya kecil tersebut walaupun sedar terdapat pengundi pos lebih dari 5,000 orang.


”Tapi dengan majoriti 2,300 lebih undi yang diperolehi oleh calon kita (PAS) dalam pilihanraya (umum) baru-baru ini (telah) menunjukkan satu peningkatan yang begitu hebat,

”InsyaAllah dengan isu-isu terkini, kita (PAS) akan lebih menjuarai dan tidak mustahil untuk kita menang,”jelasnya ketika ditemui Buletinonline, selepas majlis penyerahan kunci rumah bantuan penuh PAS di Kampung Chendering dekat sini, semalam.

Beliau berkata pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang adalah sangat penting kerana ia adalah peluang kepada rakyat DUN Bagan Pinang membuktikan mereka bersama perubahan yang berlaku di seluruh negara.

”Ini peluang kepada rakyat Rakyat Bagan Pinang membuktikan komitmen bersama mereka dengan rakyat diseluruh tempat (negara) bagi menolak Umno dan barisan Nasional,

”khususnya Negeri Sembilan adalah kubu kuat Umno dan BN,”katanya.

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata pihaknya telah menerima surat rasmi makluman kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

"Saya sudah menerima surat makluman pukul 2.45 petang tadi... bersama sijil kematian wakil rakyat Bagan Pinang, surat telah dihantar sendiri oleh pejabat Speaker," kata Tan Sri Aziz.

Sehubungan itu, menurutnya, SPR telah menetapkan 14 September ini sebagai tarikh untuk mengadakan mesyuarat khas menentukan tarikh pilihan raya kecil kerusi tersebut yang kosong sejak Jumaat lalu.




Ulasan