Tindakan Kerajaan Mengambil Alih masjid Rakyat Adalah Tidak Betul

KUALA NERUS - Setiap pihak bertanggungjawab untuk menjaga dan memakmurkan masjid samada ia adalah seorang pemimpin badan (pertubuhan) atau pemimpin kerajaan atau pun seorang rakyat biasa.
”Ada masjid kerajaan dan ada masjid rakyat, apabila berlaku begitu, tanggungjawab menjaga masjid ini adalah tanggungjawab rakyat, kerajaan dan badan-badan, maka menjadi hak setiap pihak untuk menjaga masjid,

”Jangan kerajaan sahaja yang nak jaga masjid atau pun orang ramai dan badan-badan (pertubuhan) sahaja yang nak jaga masjid,”kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik semasa berucap dalam Majlis Iftar Jamaie di Masjid Tahfidz Darul Iman Tok Jiring, disini, kelmarin.

Menurutnya ada isu sedang berkembang, dimana kerajaan negeri Terengganu mahu mengambil alih masjid-masjid rakyat di daerah Besut.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata tindakan tersebut adalah sesuatu yang tidak betul kerana masjid tersebut adalah hak rakyat.

”Masjid adalah rumah Allah, BaituLlah, yang mesti dimakmurkan oleh ahli-ahli qaryah, kalau tidak ada masjid kena buat masjid untuk dimakmurkan,

”atau pun kerajaan tolong buat masjid untuk dimakmurkan oleh ahli-ahli qaryah, kerana tanggungjawab untuk memakmurkan masjid adalah tanggungjawab ahli-ahli qaryah,”jelanya.

Justeru katanya, kerajaan tidak boleh membuat undang-undang dan peraturan sehingga menyebabkan sesuatu masjid itu tidak dapat dimakmurkan.

Turut sama dalam majlis yang dihadiri oleh 500 orang itu adalah Ustaz Abu Bakar Abdullah Timbalan Ketua Dewan Ulama’ PAS Terengganu

Ulasan