Seberang Takir, KUALA NERUS – Tempoh seminggu yang diberi pemaju Projek Perumahan Pangsapuri Mampu Milik di Kampung Batin, Seberang Takir membuatkan Puan Hashimah Mohd, 42, resah.
Dalam tempoh sesingkat itu, ibu yang mencari rezeki bagi lima anak, dengan menjual goreng pisang, buntu akan masa depan keluarganya.
Arahan lisan pemaju, supaya gerai nya mesti dirombak tambah memeningkan kepalanya, apabila memikirkan nasib ayahnya dirumah, yang menghadapi masalah mental.
“Saya buntu memikirkan masa depan lima orang anak di bawah tanggungan sekarang dan menjaga seorang ayah yang mengalami masalah mental.
“Saya mohon rayuan supaya tidak dirobohkan gerai perniagaan kami ini kerana tidak menghalang kerja-kerja kontraktor menambung tanah,” ujarnya ketika ditemui, semalam.
Beliau merupakan anak jati di kampung berkenaan telah menjalankan perniagaan tersebut sejak lebih empat tahun lalu.
Menurutnya, gerai terbabit dibina hasil bantuan dari Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pada 8 Februari 2007 dengan kos RM5,000 bagi menggantikan gerai lama yang rosak dipukul ribut.
Beliau bercadang menemui Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Ahmad Razif Abdul Rahman selaku wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (Dun) berkenaan.
Sehubungan itu, Timbalan Ketua Angkatan Muda KeADILam (AMK) Terengganu, Muzafeq Mohamad memohon simpati serta kerjasama Pemaju agar tidak dirobohkan gerai tersebut.
Katanya, jika terpaksa juga pihak Pemaju atau kerajaan negeri wajar menggantikan ‘premis’ (tempat) baru kepada mangsa terbabit.
“Kita (AMK) tidak mahu pembangunan yang dibawa masuk ini menyebabkan rakyat hidup merempat dan hilang punca pendapatan,” ujarnya.
Menurutnya, gerai berkenaan yang terletak di atas tanah rezab kerajaan tidak mengganggu kerja-kerja Pemaju menambung tanah di tapak projek.
Sebaiknya, kata beliau pemilik gerai berkenaan wajar dibayar sedikit pampasan atas kerugian perpindahan tersebut.
Buletinonline dimaklumkan, pemilik gerai berkenaan menerima notis secara lisan pada 1 Januari 2010 lalu.
Projek perumahan tersebut dimulakan pada 1 Oktober 2009 dan dijangka siap pada 1 Oktober 2011 oleh kontraktor ANJ Ventures Sdn. Bhd. kini dalam kerja-kerja menambung tanah.
Ulasan