Himpunan Batu Burok Mengelirukan

 - Ketua Polis Beri Amaran Keras


http://buletinonline.net/images/stories/berita18/umnohimpunbatil.jpgDi Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan memberi amaran kepada mana-mana pihak yang berhasrat untuk berhimpun bagi membantah isu penggunaan kalimah Allah esok agar membatalkannya sebelum tindakan tegas diambil.



Beliau yang memantau secara serius perkara itu, berkata polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengeruh dan menjejaskan keselamatan negara.



"Jangan buat sesuatu tindakan yang boleh mengusutkan keadaan, kita perlu bertenang kerana ia melibatkan isu agama yang menjadi isu sensitif," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pengurusan Inovasi dan Kualiti PDRM di sini Khamis.

Musa berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang dijangka berhimpun secara aman bagi membantah penggunaan kalimah Allah oleh Herald Catholic di beberapa masjid di ibu negara selepas solat Jumaat, esok.

Bernama melaporkan Musa turut berkata polis tidak mengeluarkan permit kepada mana-mana permohonan untuk berhimpun meskipun ia adalah perhimpunan secara aman.

Beliau berkata semua pihak perlu bertenang dan memberi ruang kepada mahkamah untuk menyelesaikan isu itu dan jangan membuat kenyataan yang boleh menaikkan semangat serta kemarahan orang ramai.

Dalam pada itu, Kuala Terengganu, pihak yang menggelarkan diri mereka sebagai 'Gerakan Kebangkitan Rakyat' (GERTAK) telah mengeluarkan  menjemput semua umat Islam hadir ke satu himpunan di Batu Burok, Jumaat, 8 januari jam 3 petang.

Pegawai Penerangan PAS negeri Terengganu, Ustaz Ismail Che Dagang menafikan himpunan tersebut adalah suatu yang amat mengelirukan dan menafikan ia adalah anjuran PAS.

Beliau menegaskan ia tidak ada kena mengena dengan PAS Terengganu dan umat Islam.

"Ia (himpunan) bukan dianjurkan oleh PAS dan tidak ada kena mengena dengan PAS, kita (PAS) telah mengeluarkan arahan supaya ahli-ahli PAS tidak menghampiri himpunan yang mengelirukan itu,"katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Menurutnya, ia adalah amat mengelirukan kerana PAS mengajak umat Islam untuk berhimpun dihadapan kedutaan Mesir di Kuala Lumpur esok, pada masa yang sama, penganjur himpunan (Gertak) mengajak orang ramai hadir ke Batu Burok.

Oleh itu, beliau turut menyeru orang ramai supaya tidak turut bersama menyertai himpunan tersebut, yang dipercayai didalangi oleh parti Umno, dengan tujuan meraih 'publisiti' dari isu Kalimah Allah yang sedang hangat diperkatakan

Ulasan