Sura, DUNGUN - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli berkata masyarakat Tionghua (Cina) jangan dijangkiti sindrom ‘Islamophobia’ dan menjadi takut kepada ugama Islam.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina di perkarangan Pasti Alor Tembesu, Dungun, dekat sini.
“Kepada masyarakat bukan Islam, saya hendak sebut orang rasa takut dengan Islam atau ‘Islamophobia’.
“Saya hendak rapatkan diri supaya Islam tidak ditakuti. Dia (Islam) bukan ganas, bukan ekstremis, jika ada orang kata Islam itu ganas, itu bukan dari ajaran Islam.
“Kita kena hidup aman damai antara satu sama lain. Antara warga negara, antara rakyat. Kita (rakyat) tidak ada beza. Islam ajar hidup baik-baik.
“Saya hendak dekatkan diri dengan masyarakat tionghua ini kerana saya hendak buang satu persepsi, benteng pemisah yang Islam ini ditakuti,” jelasnya ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina, di sini semalam 23 Februari.
Katanya, selama ini orang juga takut serta bimbang dengan PAS yang berlabelkan Islam sebagai dasar perjuangan parti.
“Selama ini orang juga takut dengan Pas. Jangan takut dengan saya atau dengan Pas. Apa yang boleh saya bantu, saya akan bantu dan tolong,” ujarnya.
Beliau yang juga Yang DiPertua PAS Dungun memberitahu, masyarakat bukan Islam tidak perlu takut dan bimbang dengan Melayu.
Namun menurutnya, Melayu Pas tidak sama dengan Melayu Umno, kerana katanya, Melayu Umno bersifat perkauman atau ‘racist’, sebaliknya Melayu Pas tidak begitu.
“saya minta masyarakat bukan Islam ini usah takut dengan Melayu. Sebab, Melayu PAS ini dia tidak ‘racist’ seperti Melayu Umno.
“Melayu Umno, mereka sengaja memainkan isu bangsa yang bersifat perkauman,” ujarnya.
Katanya, para pemimpin Melayu Umno akan bercakap dengan nada yang berlainan dalam kelompok bangsa tertentu.
Sedangkan, kata beliau PAS bercakap dengan ‘nada’ (pendirian) yang sama di hadapan semua bangsa di negara ini.
“Isu bangsa sengaja ‘dimain-mainkan’ oleh pemimpin Melayu Umno. Dia (Umno) pergi dalam masyarakat Melayu dia cakap lain, dalam kawasan orang bukan Melayu dia (Umno) cakap lain.
“Kita (PAS) tidak, depan orang tionghua ke, orang kristian ke, orang budha ke atau hindu ke sama sahaja. Sebab yang penting ialah kita (PAS) hendak beritahu Islam,” jelasnya.
Menurutnya, Pas memberi jaminan jika diberi mandat memerintah negeri dan negara ini hak serta amalan bangsa terjamin.
Katanya, hak bukan Islam terhadap bahasa, pendidikan dan agama mereka bukan sahaja terjamin dalam perlembagaan tetapi dalam ajaran Islam.
Ulasan