Pembuangan Sisa Industri Mungkin Toksik

Air Putih, KEMAMAN – Jabatan Alam Sekitar (JAS) diminta menyiasat pembuangan sisa industri yang datang dari sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong
disini kerana ia mungkin mempunyai bahan ‘toksik’ yang merbahaya.


Orang ramai juga percaya, sisa tersebut yang dibawa dengan lori dan ditanam ditepi sungai Dadong dekat sini tidak mendapat sebarang kelulusan dari JAS.

Mereka menjadi lebih bimbang kerana ia dilupuskan berhampiran dengan sungai yang masih menjadi sumber penduduk sekitar.


Seorang penduduk, Shim Chee Seong, 47, mendakwa, sehingga kini, sebanyak 30 hingga 40 buah lori sisa buangan itu telah ditanam di tepi Sungai tersebut.
“Banyak lori mereka tanam sisa buangan ini, kalau tidak silap lebih kurang 30 hingga 40 buah lori.
“Mereka bawa dari kilang Tioxide Huntsman Sdn. Bhd dan tanam di tepi sungai ini,”kata Shim Chee Seong.
Rakannya, Tiyor Chew Huat, 53, menyifatkan aktiviti pengorekan dan penjualan pasir ditepi sungai berkenaan hanyalah satu helah untuk menutup kegiatan sebenar.

Katanya, pihak kilang membeli tanah pasir kotor di tepi Sungai Dadong dengan harga RM150 selori.
“Satu trip harga pasir kotor RM150 dan akan ditambah lagi RM50 jika pemandu lori membawa sisa-sisa buangan toksid untuk ditanam di tempat pasir tadi diambil,” jelasnya.
Teow Fah Yek, 63, melahirkan rasa kebimbangan jika sisa-sisa toksid tersebut meresap masuk ke sungai berkenaan.
Katanya, air Sungai Dadong mengalir terus ke Sungai Kemaman yang menjadi punca bekalan air bersih untuk penduduk di daerah ini.
“Saya rasa ini (sisa toksik) tidak selamat dan boleh membahayakan nyawa penduduk di Kemaman.
“Jika sisa toksid itu meresap masuk ke dalam sungai akan menyebabkan keracunan dan nyawa penduduk Kemaman terancam,” ujarnya.

Sehubungan itu, seorang aktivis sosial, Zulkifli Mohammad, menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan dan menyiasat segera kegiatan tersebut.

Beliau yang dihubungi berkata, ia mungkin berlaku, kerana pihaknya menerima beberapa aduan berkaitan pencemaran alam sekitar, akibat aktiviti industri sejak kebelakangan ini.

Justeru beliau menyarankan pihak JAS supaya peka, kerana daerah Kemaman adalah antara yang mempunyai banyak kilang.

”Mungkin ada pihak yang tidak bertanggungjawab, mengambil jalan mudah, melakukan tindakan yang tidak mengikut peraturan (pembuangan sisa toksik),”katanya.
Buletinonline dimaklumkan sisa-sisa buangan toksid tersebut ditanam dengan kedalaman 10 hingga 20 kaki dan jaraknya dengan Sungai Dadong 20 kaki sahaja.

Ulasan