Umno Sekadar Berarak Mengingati Tarikh Lahir Nabi

- Bermuka-muka menyambut MaulidurRasul
KUALA TERENGGANU
– Pemimpin Umno dan pengikutnya sebenarnya tidak faham bagaimana sebenarnya amalan menghayati sambutan Maulidur Rasul SAW.


Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Nik Mohammad Zawawi Nik Salleh berkata apa yang Umno buat setiap kali kedatangan bulan Rabiulawal sekadar ‘bermuka-muka’.
Katanya, Umno gagal mendidik pemimpin dan ahli-ahlinya dengan berkesan melalui penghayatan Maulidur Rasul.

“Umno buat (maulidur rasul) sekadar ‘bermuka-muka’ sahaja kononnya, Umno hendak menghayati Islam.

“Dalam masa sama, dia (Umno) menolak syariat Rasulullah SAW, tolak hukum Islam yang menjadi sebahagian dari kehidupan manusia,” jelasnya

Bahkan, katanya program sambutan dengan perarakan yang dilakukan itu tidak mendatangkan keinsafan kepada rakyat.

Beliau juga menjelaskan apa yang penting adalah penghayatan syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Menurutnya, program yang menjurus ke arah itu perlu dibuat bagi menerangkan kepada masyarakat tentang perjuangan, pelaksanaan syariat dan perundangan Islam.

“Sambutan Maulidur Rasul banyak cara boleh buat kerana yang penting umat Islam menghayati syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

“Program yang menjurus ke arah itu seperti ceramah, seminar, diskusi dan pameran yang menyedarkan masyarakat tentang sejarah Islam sebenar,” ujarnya.

Justeru itu, Ustaz Nik Zawawi menasihati umat Islam agar tidak hanya membuat perarakan sekadar untuk mengingati tarikh lahir Nabi SAW dan tahun gajah.

Ulasan