Campurtangan Orang Politik antara Sebab Bumbung Stadium Runtuh

KUALA TERENGGANU – PAS yakin ada campur tangan ‘orang politik’ dalam pembinaan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada runtuhnya bumbung stadium tersebut, Jun tahun lalu.

“Saya percaya berlaku campur tangan politik, ditambah dengan individu berkepentingan kerana insiden runtuhan sedemikian tidak patut berlaku berikutan ia membabitkan wang rakyat,” kata Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh.


Menurutnya, campur tangan itu menyebabkan kerja pembinaan tidak lancar dan pihak terbabit berkemungkinan tidak amanah serta tidak jujur.

Beliau berkata demikian kepada akhbar Sinar Harian, keika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sebelum ini bahawa semua pihak yang terbabit dalam pembinaan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, adalah penyumbang kepada insiden kejadian runtuhan bumbung stadium berkenaan.

Ahmad ketika membentangkan hasil laporan kejadian bumbung runtuh itu berkata, berdasarkan punca yang dikenal pasti melalui laporan terakhir Jawatankuasa Siasatan (IC), semua bahagian terbabit didapati melakukan kesilapan.

Nik Zawawi yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat turut menasihatkan Kerajaan Negeri supaya melaksanakan sistem tender terbuka bagi menggalakkan ketelusan dan menghindarkan amalan ‘kronisma’.

Katanya, pemantauan juga perlu dilakukan secara telus supaya kemudahan untuk kepentingan rakyat benar-benar dapat digunakan selari dengan matlamat pembinaannya.

“Mereka juga kena ingat bahawa pembinaan ini adalah harta rakyat dan mereka perlu bertanggungjawab sehingga akhirat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut mencadangkan supaya kontraktor diberi kursus dan motivasi keagamaan dalam usaha mewujudkan kekuatan rohani yang boleh memberi keharmonian kepada pengguna sekeliling.

Ulasan