LPT2 - Kontraktor OKU Paling Lembab


KUALA TERENGGANU – Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor hari ini mengakui kerja-kerja pembinaan lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) dari Jabur ke Gemuroh tertangguh.
Walau bagaimana pun beliau yang bercakap di Parlimen hari ini yakin lebuhraya tersebut dapat digunakan menjelang Januari, 2012.

Namun begitu, tidak dinyatakan apakah faktor yang menyokong keyakinan beliau itu, kerana laporan terbaru Pasukan LPT2 JKR menyatakan hanya 3 daripada 16 pakej pembinaan lebuhraya itu adalah mengikut jadual.

Manakala 13 daripadanya mengalami kelewatan, malah pembinaan bagi Pakej 8 dan 9B tidak melepasi tahap 50% dari jadual sebenar.

Pada September tahun lalu, Menteri Besar Dato’ Ahmad Said mengumumkan, beberapa kontraktor yang menghadapi masalah dalam menyiapkan pembinaan lebuhraya itu, telah menyerahkan kembali kontrak mereka kepada kerajaan.

Shaziman dalam jawapannya di Parlimen berkata kontraktor baru yang akan dilantik hanya akan berlaku pada bulan April atau Mei akan datang.

Antara sebab kelambatan pembinaan LPT2 adalah karenah kontraktor ‘Orang Kuat Umno’ (OKU) yang tidak dapat meneruskan kerja-kerja mereka kerana mendakwa berlaku kenaikan harga dalam bahan-bahan pembinaan.

Antaranya adalah kontraktor bagi pakej yang paling lembab iaitu Pakej 8 dan 9B.

Pakej 8 adalah sepanjang 6.8km, melewati kawasan Felda Kerteh 6 dan Felda Kerteh 2 degan nilai kontrak sebanyak RM50,823,220.00.

Kerja-kerja Pakej tersebut telah dimulakan pada 16 Jun, 2007 dan mengikut jadual asalnya, telah siap pada 12 Jun, 2009, mengambil masa selama 104 minggu.

Manakala Pakej 9B ada sepanjang 5.2km melalui Hutan Simpan Bukit Bauk bernilai RM59,215,000.00. Unjuran kerjanya yang dimulakan pada 1 Julai 2007, juga ditetapkan selama 104 minggu, sepatutnya siap pada 27 Jun, 2009.

Kedua-dua Pakej tersebut telah ‘dibolot’ oleh syarikat Arah Jitu Sdn Bhd, syarikat yang berpangkalan di bandar Kuala Berang.

Oleh itu, mereka meminta kerajaan mempertimbangkan tambahan harga baru dan Shaziman dalam jawapannya, telah memberikan persetujuan untuk membuat pertimbangan.

Walaupun sebelum ini, menurut sumber dalaman, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib telah menolak permohonan para kontraktor terbabit.

Justeru, adakah ‘impian’ rakyat melihat LPT2 beroperasi pada awal 2013 menjadi ‘realiti’ setelah terlewat selama dua tahun.

Atau rakyat akan berputih mata lagi kerana sebelum ini kerajaan meletakkan unjuran asalnya, lebuhraya sepanjang 190km itu dijamin siap pada tahun 2011.

Atau ia akan terlewat lagi, sebagaimana ‘standard’ biasa mana-mana pembinaan yang dilaksanakan oleh OKU.

Yang pasti, rakyat Terengganu tidak mahu melihat sebarang tragedi ‘runtuh’ lagi, sebagaimana pembinaan bangunan dan binaan kerajaan yang telah diserahkan kepada kontraktor OKU sebelum ini.

Ulasan