AMK Ajak Pemuda Umno Berdailog Isu Rakyat

- 22 buah rumah akan diroboh kerana kepentingan projek Ketua Pemuda Umno
KUALA TERENGGANU - Angkatan Muda KeADILan Terengganu (AMKT) bersedia berdailog dengan pemuda Umno bagi membincangkan isu-isu melibatkan kepentingan, kebajikan dan kecaknaan terhadap rakyat negeri ini.

Ketuanya, Faris Musa menyahut baik kenyataan Ketua Pemuda Umno Terengganu, Saiful Bahri Baharuddin yang menolak perdebatan tetapi bersedia mengadakan dialog mengenai isu yang melibatkan kepentingan rakyat.
“Kita (AMKT) mengambil pendekatan positif dengan kenyataan Ketua Pemuda Umno Terengganu dalam Sinar Harian bertarikh 22 Febuari 2010 yang menolak perdebatan tetapi mengambil sikap bersedia untuk mengadakan dialog atau perbincangan berkaitan isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media yang diadakan disini semalam.

Oleh itu, AMKT mengundang Pemuda Umno Terengganu serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Pasu, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said berdialog berkaitan isu projek runding terus pembinaan jalan Kampung Jeram ke Kampung Banggol Tuan Muda.

Menurutnya, projek tersebut diberikan oleh kerajaan negeri kepada Syarikat MZ Hakujaya Sdn. Bhd milik Ketua Pemuda Umno tersebut.

Isunya, kata Faris projek tersebut akan melibatkan sebanyak 22 buah rumah rakyat di Kampung Banggol Donas bakal dirobohkan.

“Projek runding terus itu dibawah peruntukan Dana Khas yang melibatkan kos RM226 juta iaitu pembinaan jalan dari Kampung Jeram ke Kampung Tok Kong dan Kampung Jeram ke Kampung Banggol Tuan Muda oleh Syarikat MZ Hakujaya Sdn. Bhd yang turut melibatkan kepentingan Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu dalam syarikat berkenaan,” jelasnya.

Menurutnya, projek pembinaan jalan dari Kampung Jeram ke Kampung Banggol Tuan Muda oleh syarikat terbabit melibat 22 buah rumah rakyat di Kampung Banggol Donas bakal dirobohkan.

Sedangkan, katanya beberapa tindakan bantahan telah dilakukan oleh para penduduk sejak tahun 2008 lagi tidak dilayan.

Beliau yang juga Timbalan AMK Pusat melahirkan rasa kecewa kerana tidak ada sebarang usaha dari pihak kerajaan negeri serta Adun BN Teluk Pasu mengadakan perbincangan bersama para penduduk sehingga sekarang.

“Kita (AMK) dukacita kerana tidak ada sebarang usaha dibuat oleh kerajaan Umno-BN Terengganu dan Adun BN Teluk Pasu berbincang dengan rakyat.

“Bahkan, tidak mengambil tindakan positif walau pun surat-surat bantahan telah dihantar kepada Menteri Besar Terengganu, Ketua Pengarah JKR Malaysia, Pengarah JKR Negeri Terengganu dan Pengarah UPEN Terengganu,” ujarnya.

Menurutnya, rekabentuk atau plan pembinaan jalan tersebut dianggap tidak relevan kerana boleh diluruskan tanpa melibatkan rumah rakyat.

Beliau mendakwa direka sedemikian bagi memenuhi kepentingan pihak tertentu dengan persetujuan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Banggol Donas.

Katanya, status tanah yang dimiliki oleh ‘orang kuat’ JKKK di Kampung Banggol Donas telah ditukar ke status bangunan daripada status pertanian.

Dimaklumkan, pihak syarikat kontraktor (MZ Hakujaya Sdn. Bhd) telah membawa masuk jurukur serta melantik Syarikat Kumpulan Ikram Sdn. Bhd bagi menjalankan ‘Soil Investigation’.

Tindakan tersebut melanggar peraturan dan undang-undang di mana jurukur dan pekerja ‘soil Investigation’ gagal menunjukkan surat kuasanya dalam Borang B sepertimana diperuntukkan Seksyen 5 Kuasa Memasuki dan Mengukur.

Hadir sama pada sidang media tersebut Timbalan AMK Terengganu, Muzafeq Affyulzaifuzan Muhammad, Ketua Wanita PKR Kuala Terengganu, Puan Rozita Ismail dan wakil penduduk, Salleh Embong.

Ulasan