Sidang DUN Terengganu ; PAS Kemuka Dua Usul

KUALA TERENGGANU – ADUN PAS Terengganu akan mengemukakan dua usul dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dibawah Fasal 30 Peraturan-peraturan dan Perintah-perintah Tetap DUN Terengganu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut berkata dua usul berkenaan adalah berkaitan isu royalti Petroleum dan isu berkaitan dengan gejala rempit yang melanda pemuda pemudi Terengganu.

”Kita, InsyaAllah akan mengemukan dua usul, yang kedua-duanya adalah mustahak bagi orang ramai, rakyat negeri Terengganu,

”isu royalti adalah perkara yang cukup besar dan penting, kerajaan pusat sehingga kini belum mengembalikan pembayaran tunai 5% wang royalti kepada kerajaan Terengganu,”ujarnya ketika ditemui selepas mesyuarat Pra Sidang DUN yang diadakan di Pejabat Perhubungan PAS semalam.

(Gambar - ADUN Ladang, Dato' Tengku Hassan dan ADUN Bukit Tunggal, Dr. Alias Razak, menghadiri mesyuarat pra sidang DUN dipejabat PAS semalam)

Menurutnya, isu rempit pula adalah cukup penting, yang InsyaAllah akan dikemukakan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Katanya, PAS mahu ‘Dewan yang mulia’ Sidang DUN Terengganu membincangkan dan memutuskan kedua-dua usul yang sudah ‘mendesak’ itu.

Manakala Ketua Pemuda, Ustaz Mohd Nor Hamzah ketika ditemui berkata, isu rempit bukan hanya isu gejala social yang melanda remaja dan pemuda, bahkan ia sudah menjadi isu jenayah dan keselamatan.

Katanya, sekiranya ia dipandang sambil lewa oleh kerajaan Terengganu, sebagaimana selama ini, ia akan meledak menjadi ‘bom jangka’ sosial yang lebih besar.

”Kita mahu satu dasar diputuskan bagi menangani isu ini, kerajaan telah meluluskan belanjawan RM5 juta, wang rakyat,

“kita (PAS) mahu ianya disalurkan beradasarkan satu program yang dibincangkan dalam sidang DUN,”katanya.

Ulasan