‘Cakna’ Rakyat Setakat Atap Zink, PPRT Pun Salah Pilih!


http://buletinonline.net/images/stories/berita26/rumahpprtkijal1.jpgKijal, KEMAMAN – “Memang MB cakna ke rakyat DUN Kijal, cakna sokmo, atap zink bertambung-tambung bawah rumah orang, tapi setakat atap zink sajalah, hok lainnya, dok nampok,”jawab seorang warga DUN Kijal yang tinggal di Ibok apabila diajukan soalan, bagaimana Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said melayani kehendak rakyat DUN Kijal yang diwakilinya.

(Gambar - sebelah kiri adalah rumah asal PPRT, manakala sebelah kanan, rumah PPRT yang telah diubahsuai menjadi sebuah banglo dua tingkat - klik sini untuk lihat lebih jelas)

Ahmad Said sering kali mendabik dada kononnya kerajaan BN Terengganu sangat prihatin serta cakna rakyat.

Justeru, lahirlah pula slogan retorik Ahmad yang mahukan ‘merakyatkan pembangunan’ dengan ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ dalam pentadbirannya.

Hakikatnya, rakyat didahulukan dengan pelbagai kesusahan, untuk mencapai kesenangan bagi pemimpin Umno lah yang diutamakan.

Tinjauan Buletin ke kawasan DUN Kijal masih dilihat dengan jelas banyak rumah-rumah rakyat yang serba dhaif dan miskin di merata tempat.

Walaupun Kijal, khususnya Teluk Kalong merupakan kampung halaman Ahmad sendiri, selaku MB Terengganu yang sebelumnya menjadi Exco kanan kerajaan negeri lebih 10 tahun.

Penduduk Kampung Ibok yang enggan disebut namanya mengakui MB Ahmad memang seorang yang ‘cakna’, tetapi hanya kepada kroninya.

Katanya, bantuan serta kemudahan untuk rakyat diberi ala-kadar seperti ‘melepas batuk ditangga’ sahaja.

“MB ‘Mat Said’ memang seorang yang ‘cakna’ tetapi hanya untuk orang kuat dia (Ahmad) dan kroni dia (MB) sahaja.

“Bantuan untuk rakyat susah dan miskin dibantu ala-kadar dan sikit-sikit sahaja supaya terus menerus bergantung kepada Umno-BN,” jelasnya.

Menurutnya, lebih 40 peratus penduduk di DUN Kijal termasuk dalam kategori miskin, mudah miskin dan miskin tegar.

Katanya, bantuan atap (zink) biru pun tidak sepenuh dan berlaku pilih kasih diperingkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) lagi.

Sumber Buletin memaklumkan terdapat di kalangan penerima bantuan atap zink biru terdiri di kalangan orang berada serta penyokong tegar Umno-BN.

Bahkan, katanya terdapat penerima yang mendapat lebihan atap zink biru subsidi tersebut dibuat pagar atau disimpan di bawah rumah sahaja.

Kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM500,000.00 bagi setiap Dun-dun di Terengganu sebagai bantuan subsidi atap zink yang rosak serta ditimpa bencana.

Persoalannya, ke manakah perginya peruntukkan yang begitu besar setiap tahun tetapi rakyat masih dibelenggu 1001 macam kesusahan serta dinafikan haknya.

Di bahagian pantai DUN Kijal pula, rakyat termiskin pula menjadi mangsa pilih kasih.

Mungkin kerana Ahmad terlalu ‘cakna’ memilih peserta yang akan diberikan bantuan rumah PPRT, sehingga tersalah pilih.

Bagaimana seorang rakyat termiskin dalam masa beberapa bulan sahaja boleh mengubah sebuah rumah PPRT menjadi sebuah banglo?

Sudah tentu pilihan Ahmad bukan sebenarnya rakyat termiskin, sekiranya pelihannya itu mampu mengubahsuai rumah PPRT menjadi rumah dua tingkat??

Dengan keadaan kemiskinan dan masalah agihan bantuan di kawasan Menteri Besar sendiri membenarkan kata-kata Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri Terengganu.

Ashaari Idris yang juga ADUN Langkap berkata Terengganu masih ditangga kedua kategori rakyatnya mudah miskin.

Manakala, katanya kategori rakyat miskin juga masih kekal ditangga ketiga dan miskin tegar ditempat kelima.

“Berdasarkan kajian terbaru negeri Terengganu berada ditangga kelima daripada tempat kedua sebelum ini bagi kategori miskin tegar.

“Kategori miskin masih kekal ditangga ketiga, dan ditangga kedua bagi ketegori yang mudah miskin,” jelasnya ketika menggulung Persidangan Dun Terengganu, di Wisma Darul Iman, 8 April lalu.

Ashaari turut menjelaskan, mengikut pecahan daerah pula yang termiskin di Besut 813 orang, Kuala Terengganu (663), Setiu (471), Dungun (185), Hulu Terengganu (139), Marang (80) dan Kemaman (63) orang.

“Laporan yang terbaru kedudukan hal Terengganu bagi membasmi kemiskinan ini berbanding akhir tahun 2009, kita (Terengganu) masih ada 10,268 orang yang miskin berbanding akhir tahun lepas (2009) kita (Terengganu) ada 9,924 orang dan meningkat sedikit.

“Dan yang mudah miskin, kita (Terengganu) ada 14,107 orang berbanding dengan 14,121 orang sebelum ini.
 
“Dan yang sudah berjaya kita (Terengganu) keluar dari kemiskinan seramai 1,600 orang berbanding pada akhir tahun lepas 2009 ialah 574 orang,” ujarnya.

Ulasan