KUALA TERENGGANU – Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali menjangka Pilihan Raya Umum (PRU) Ke -13 akan diadakan lebih awal dan meletakkan April 2011 sebagai satu tempoh masa yang paling munasabah.
Dengan jarak masa yang agak singkat itu, Buletinonline meninjau persiapan bagi kawasan-kawasan untuk menghadapi pilihanraya tersebut, dalam tempoh kurang dari setahun.
(Gambar - YDP Setiu, Ustaz Pauzi pada hari penamaan calon PRU - 12, Mac, 2008)
Yang Dipertua PAS Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli beranggapan tarikh April 2011 yang dilontar oleh Setiausaha Agung itu, sebagai ‘signal’ untuk jentera PAS agar lebih aktif.
Yang Dipertua PAS Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli beranggapan tarikh April 2011 yang dilontar oleh Setiausaha Agung itu, sebagai ‘signal’ untuk jentera PAS agar lebih aktif.
Menurutnya, PAS Kawasan Dungun memulakan langkah pertama sebagai ‘respon’ dari kenyataan tersebut, mengadakan pertemuan dengan seluruh jawatankuasa PAS cawangan-cawangan.
“Kita (PAS Dungun) akan mulakan dengan program pertemuan dengan jawatankuasa PAS cawangan dan jentera parti peringkat ‘akar umbi’ termasuk Majlis Tindakan Dun (MTD).
“Kita (PAS) ada masa lebih kurang setahun dari sekarang dan jentera parti Pemuda, Ulama’ dan Muslimat perlu lebih aktif lagi,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura, menjelaskan keperluan rakyat serta para pengundi di setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) wajar diambilkira dari sekarang.
Katanya, kepentingan kebajikan pengundi mesti diberi perhatian disamping melihat kekuatan dan kelemahan parti.
Yang Dipertua PAS Kemaman, Ismail Harun berkata PAS Kemaman akan menyusun gerak kerja parti ke arah yang lebih sistematik dan tersusun.
Sebelum ini, katanya gerak kerja parti telah dilakukan sepanjang masa sama ada pilihan raya tersebut cepat atau lambat.
“Kita (PAS) tidak ada masa lagi untuk ‘main-main’ (leka) dan akan kita susun gerak kerja parti dengan lebih sistematik dan tersusun.
“Kita (PAS) selalu bersedia dan bekerja sepanjang masa tidak kira pilihan raya itu cepat atau lambat yang penting matlamat untuk ‘menang’ (pilihan raya),” jelasnya ketika dihubungi.
Yang Dipertua PAS Setiu, Ustaz Mohd Pauzi Muda berkata, semangat bekerja di kalangan ahli parti semakin meningkat dengan kemenangan Pakatan Rakyat di Sibu, baru-baru ini.
Katanya, kemenangan tersebut bukan kerana DAP sahaja tetapi kerjasama padu tiga parti dalam Pakatan Rakyat.
“Kita (PAS) sentiasa bersedia ‘sokmo’ (selalu) dan kemenangan DAP-Pakatan Rakyat di Parlimen Sibu telah meningkatkan semangat jentera parti PAS, DAP dan Parti KeADILan Rakyat (PKR).
“Masa setahun dari sekarang ini memerlukan kita (PAS) dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat bersiap sedia dengan tenaga dan kewangan,” ujarnya.
Menurutnya, tarikh April 2011 itu menuntut agar jentera parti disemua peringkat bekerja ke arah mencapai kemenangan dalam PRU Ke -13 itu nanti.
Ulasan