KUALA TERENGGANU - Setiap kali hujan penduduk sekitar Kampung Cherung Lanjut dan Batas Baru di sini, resah kerana persekitaran rumah pasti becak dan berselut kerana limpahan air tanah dari kawasan projek taman rekreasi di Bukit Pak Apil.
Selepas hujan penduduk berhadapan dengan tanah becak tetapi apabila cuaca kering mereka terpaksa pula menghadapi debu tanah yang kering di sekeliling rumah.
Keadaan itu sudah berlanjutan sejak dua tahun lalu dan penduduk semakin bosan dengan masalah itu menyebabkan mereka meminta pihak berkuasa berkaitan mempercepatkan kerja pembinaan Taman Panorama di puncak bukit itu yang mengambil masa terlalu lama untuk disiapkan.
Tinjauan ke kawasan itu mendapati projek Taman Panorama untuk kemudahan rekreasi terbiar kerana tidak kelihatan pekerja di situ, hasilnya orang ramai yang berjoging dan bersiar di kawasan itu terpaksa bersabar dengan pelbagai kemudahan yang tidak siap dan mencemarkan pemandangan.
Penduduk, Lim Siew Toh, 55, berkata penduduk sudah bosan dengan kelewatan projek itu kerana selain terpaksa berdepan dengan air lumpur, mereka sukar berjoging sambil menghirup udara segar seperti sebelum ini.
Katanya, langkah kerajaan membangunkan prasarana di bukit itu wajar dan disambut baik tetapi kelewatan projek menjejaskan keselesaan orang ramai terutama penduduk berhampiran.
“Dulu tempat ini dipenuhi orang ramai untuk berjoging, tetapi kini berkurangan kerana kawasan kotor serta berdebu,” katanya.
Lim Foo Kean, 46, pula berkata penduduk sudah lama bersabar dan berharap penyelesaian segera dicapai.
Beliau yang sudah lama menetap di situ bimbang berlaku tanah runtuh dan menghempap rumahnya serta surau berhampiran kerana air dari bukit terlalu laju.
“Sebelum ini memang ada air dari bukit selepas hujan, tetapi ia bersih dan jernih hingga kanak-kanak boleh mandi, tidaklah keruh dan berlumpur seperti sekarang,” katanya - BH
Berita berkaitan;
Kerajaan UMNO/BN Terengganu Yang Dungu !
Dato' Ku Akan Bawa Masalah Banjir Kilat Ke Dalam Sidang DUN
Penduduk Taman Jalan Cerong Lanjut Pula Terima Akibat Penarahan Bukit Pak Apil
Dato' Ku Akan Bawa Masalah Banjir Kilat Ke Dalam Sidang DUN
Ulasan