Pungutan Zakat Merosot Bukti Ekonomi Belum Pulih


http://buletinonline.net/images/stories/berita26/zakatdown.gifKUALA TERENGGANU - Kemerosotan pungutan zakat perniagaan di Terengganu adalah bukti krisis ekonomi yang melanda negara dan negeri Terengganu belum berakhir.
Ia bertentangan dengan kenyataan pemimpin kerajaan pusat yang mendakwa ekonomi negara kita telah pulih.

Timbalan Ketua Dewan Ulama’ PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah berkata ekonomi negeri lembab dan merosot, telah memberi kesan kepada pungutan zakat kerana aliran kewangan lemah dan tidak berkembang.
Ustaz Abu Bakar berkata demikian ketika mengulas Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman berkaitan perkara tersebut.

Wan Harujan dilaporkan berkata pungutan zakat perniagaan bagi tahun 2009 yang diterima oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) tahun 2010 ini menunjukkan kemerosotan berbanding tahun 2008.

“Walau pun pungutan zakat untuk tahun 2009 yang diterima hingga Mac 2010 lalu menunjukkan pertambahan sebanyak RM175,000 berbanding tempoh sama tahun 2009.

“Namun, kebanyakan jumlah zakat perniagaan yang dibayar oleh institusi perbankan dan syarikat perseorangan adalah lebih rendah berbanding tahun sebelumnya (2008),” jelasnya selepas majlis pembayaran zakat perniagaan Bank Simpanan Nasional (BSN) cawangan Terengganu bagi tahun 2009 di Pejabat Maidam, Kompleks Seri Iman, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ustaz Abu Bakar berkata sekiranya ekonomi negeri dan negara berkembang, perniagaan akan menjadi rancak dan jumlah pengutan zakat akan meningkat.

Sebaliknya, sekiranya ekonomi lembab, perniagaan merosot dan akan menjejaskan pungutan zakat.

“Bila pungutan zakat perniagaan di negeri (Terengganu) ini menurun bermakna ekonomi negeri kita juga lembab dan merosot, kalau ekonomi berkembang, perniagaan rancak dan kutipan zakat bertambah” jelasnya.

Untuk rekod, Maidam hingga 11 April lalu, dilaporkan berjaya mengumpul keseluruhan zakat RM13,526,798.35 yang merangkumi zakat perniagaan, pendapatan, tanaman, perhiasan, simpanan, ternakan dan harta.

Ulasan