Terengganu Rekod Tertinggi ; 100 Orang Penduduk, 1 Penagih

KUALA TERENGGANU – Terengganu mencatatkan masalah penyalahgunaan dadah paling tinggi di negara ini mengalahkan negeri-negeri maju di Malaysia Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dengan anggaran seorang daripada 100 penduduk ialah penagih dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu, Superintendan Roslan Abdul Wahid (gambar kiri) berkata negeri paling rendah pula adalah Sarawak.

Menurutnya, laporan yang didedahkan ketika mesyuarat Ketua-ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di ibu negara pada awal bulan ini adalah hasil tangkapan pasukan tersebut tahun lepas.

“Pada 2009, kita berjaya menangkap 10,000 orang yang terbabit dalam masalah dadah dan jumlahnya besar berbanding 1.2 juta penduduk Terengganu,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.

Roslan berkata, ada dua faktor yang meletakkan Terengganu pada kedudukan tertinggi iaitu sama ada penyalahgunaan dadah di sini memang serius atau penguatkuasaan yang dilakukan berkesan.

“Bagaimanapun, kita akan tetap meneruskan operasi bagi membanteras kegiatan jenayah ini dan Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu boleh dikatakan kawasan segi tiga emas untuk masalah dadah,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemantauan berterusan pihaknya berjaya menahan dua pengedar dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Tengah Kampung Jambu Bongkok, Marang kira-kira jam 9 malam kelmarin.

Katanya, kedua-dua penganggur berusia 31 dan 44 tahun yang mempunyai rekod dadah serta jenayah lampau itu ditahan selepas polis menemui enam botol heroin bernilai kira-kira RM8,500 di rumah berkenaan.

“Suspek berasal dari Marang dan Pulau Serai, Dungun itu menjadikan rumah sewa terbabit sebagai lokasi untuk mereka membungkus dadah untuk dipasarkan ke Dungun.

“Kedua-dua lelaki ini kini ditahan reman selama semingg sehingga 22 Mei ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar yang membawa hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan,” katanya.

Sebelum itu kata Roslan, pihaknya turut menumpaskan satu kegiatan me-ngedar daun ketum di negeri ini dengan tertangkapnya sepasang kekasih di Jertih, Besut kira-kira jam 9 malam pada Isnin lalu.

Menurutnya, pasangan kekasih berusia 31 dan 30 tahun berasal dari Perak itu dipercayai menyeludup masuk daun ketum segar ke negeri ini untuk kegunaan penagih lantaran permintaan yang begitu tinggi.

“Kita turut merampas 105 kilogram daun ketum dan pasangan ini ditahan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang boleh membawa hukuman penjara selama dua tahun atau denda sebanyak RM30,000,” katanya.

Ulasan