Chukai, KEMAMAN – Penolong Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Haji Hanafiah Mat@Ramly bertekad untuk meneruskan tindakannya menyaman kerajaan Malaysia, Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Daerah Kemaman kerana menahannya secara tidak sah lima tahun yang lalu.
“Esok 26 haribulan (dan) esok adalah sambutan 5 Tahun Masjid Bujal yang dirobohkan oleh Umno dan BN, dan lebih kurang dalam 2 minggu lagi, ialah sambutan kepada saya yang duduk dalam lokap selama 4 hari,
”InsyaAllah, saya akan tetap saman kerajaan Malaysia, Ketua Polis Negara (dan) Ketua Polis (daerah) Kemaman pada waktu itu, Wan Bari,
”saya tetap akan saman dengan RM1.6 Juta melalui Tetuan Haris (dan) yang akan mewakili saya ialah Tun Salleh Abbas,”tegasnya ketika ditemui selepas Majlis Penerangan Isu Semasa, disini semalam.
Katanya, InsyaAllah dengan doa orang ramai dan penyokong, beliau akan mencapai kemenangan apabila kes tersebut dibicarakan kelak.
Menurutnya, tindakan tersebut diambil kerana polis telah menahannya tanpa waran dan secara ‘menipu’ kerana katanya, beliau dipanggil ke balai polis adalah untuk berbincang tentang permohonan permit satu Majlis Forum tentang kes tanah.
Namun sebaliknya, apabila sampai dibalai polis, setelah berbincang, tiba-tiba pihak polis berkata, beliau telah ditahan dan disoal siasat berkaitan perobohan masjid Bujal.
Mengenang kembali tragedi yang menyayat hati, peristiwa merobohkan Masjid Bujal, beliau berkata ia dirobohkan pada jam 2.30 petang 25 Mei tahun 2005.
”Apabila kita (orang ramai yang berhimpun) keluar sahaja apabila (mereka) tidak berjaya jam 12 tengahari, tiba-tiba dipanggil pula jentolak daripada daerah Kemaman ini, (sedang) kita pun tak ada (waktu itu),
”waktu kita tidak ada itu lah dirobohkan masjid Bujal,”jelasnya dalam ucapannya.
Katanya, tindakan meruntuhkan masjid Bujal adalah tindakan yang tidak berperikemanusiaan kerana masjid tersebut didirikan oleh rakyat, bukan oleh kerajaan.
Menurutnya, dana pembinaan masjid tersebut adalah sumbangan derma dan sedeqah jariah yang dikumpulkan daripada orang ramai, bernilai lebih RM100,000.
Oleh yang demikian, beliau menyifatkan pelbagai kejadian yang melanda kerajaan negeri dibawah Umno/BN sekarang ini adalah bala yang diturunkan oleh Allah SWT.
”Sebab itu saya katakan, (selepas masjid dirobohkan) kita (menunaikan) sembahyang hajat 40 hari 40 malam pada nama-nama berikut, Menteri Besar Terengganu ketika itu Idris Jusoh, dan juga (MB kini) Ahmad Said, dan Wan Bari, yang juga ketua polis daerah Kemaman,
”kita sembahyang hajat selama 40 hari 40 malam, supaya Allah taala menunjukkan kepada mereka-mereka tersebut kalau betul dia rombak (runtuhkan) masjid maka berilah peluang terbaik kepada dia,
”tetapi kalau betul kalau dia silap, memang ‘cpmfirm’ dia (mereka) yang runtuhkan masjid, maka Allah Taala akan beri, “ikut pandai lah” nak bagi lagu mana pun. ganjaran yang setimpal dengannya,”ujarnya.
Justeru, katanya, hari ini selepas 5 tahun, Allah telah menunjukkan kepada seluruh rakyat bukan sahaja yang berada di Terengganu, bahkan (kepada) yang berada di seluruh Malaysia.
”Banyak bangunan-bangunan di Terengganu ini runtuh dan negeri Terengganu secara automatik daripada Terengganu Darul Iman menjadi Terengganu Darul Runtuh. Betul ke tak betul?,”soalnya kepada para hadirin lalu bergema jawapan ‘betul’ oleh mereka yang hadir.
Ulasan