40 'Ulamak' Masuk Umno – ‘Pendustaan berterusan; dulu, kini dan Selamanya’

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita27/ulamakmuda1.gifKUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) merasa sangat dukacita dengan tindakan Umno ‘memperolok-olokkan dan menipu’ seluruh rakyat dengan isu kononnya ‘40 orang ulamak muda masuk Umno’.

Ketuanya, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, pendedahan beberapa orang ustaz muda lepasan pengajian agama dari Jordan jelas menunjukkan bahawa Umno telah mempersendakan golongan ulamak muda, sehingga kelihatan seolah-olah berlakunya penyerahan borang masuk Umno kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak.




Menurutnya, salah seorang daripada mereka ialah Ustaz Hosni Mubarak Abdul Hamid, 27, yang telah menafikan dakwaan Umno bahawa 40 Ulama muda menyertai Umno Barisan Nasional.
Katanya, Ustaz Hosni dalam kenyataannya yang dipetik Harakahdaily berkata beliau dan rakan-rakannya hanya dimaklumkan dijemput kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ingin bertemu dengan lepasan Jordan.
“Hosni berkata, mereka telah dibawa masuk melalui bangunan sebelah Mall, naik escalator, pusing-pusing tiba-tiba sudah berada di dalam Bangunan Umno di PWTC, diminta beratur menyambut Najib datang dan bersalaman, ketika itu gambar diambil bertalu-talu.

“Kemudian diumumkan kepada media bahawa inilah 40 ulama muda yang menyertai Umno, benar ada yang menyertai Umno tetapi ramai yang tertipu melihat kepada reaksi mereka yang asyik menunduk sahaja,” jelas Ustaz Mohd Nor memetik kenyataan Hosni.

Oleh itu, kata Ustaz Mohd Nor, terbukti Umno dengan sengaja memasang perangkap terhadap mereka yang tidak tahu menahu adanya majlis penyerahan borang keahlian Umno.

“Kami (DPPNT) merasa dukacita kerana Umno sanggup memperdaya golongan agama demi memperkukuhkan perjuangan sesat Umno,

“kami juga menyelar kenyataan Datuk Abdullah Mat Zin yang menyokong kemasukan kononnya 40 orang ulama muda ke dalam Umno yang dibuatnya semalam(27 Jun 2010) di Besut yang disiarkan dalam portal Bernama,”tegasnya ketika dihubungi Buletinonline

Katanya, kenyataan Abdullah memperlihatkan kebodohan beliau yang ‘tanpa usul periksa’, sentiasa ‘rela’ dipergunakan oleh Umno untuk menghalalkan perjuangan batilnya.

Justeru, beliau menyeru beberapa kerat ‘ulama muda’ yang tersalah masuk Umno agar membuat pengisytiharan keluar semula dari Umno dan menyertai perjuangan PAS untuk mewujudkan negara yang adil dan berkebajikan terhadap rakyat seluruhnya.
Katanya, kami juga ingin mengingatkan rakyat seluruhnya khususnya bagi negeri Terengganu bahawa kalaulah terhadap ulama pun mereka boleh berbohong, apa lah sangat dengan kita rakyat awam negeri Terengganu.
“Insiden tersebut menjadi bukti yang sangat jelas bahawa memang Umno merupakan parti bohong dulu, kini dan selamanya,”kata Ustaz Mohd Nor

Ulasan