53 Tahun Merdeka, 30 Tahun Tinggal Dalam Pondok Tiga Meter Persegi


http://buletinonline.net/images/stories/berita26/MamatJusoh.jpgSETIU – Walaupun ramai pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) berbangga dengan pencapaian 53 tahun kemerdekaan negara, namun, seorang warga emas yang lahir sebelum merdeka merasakan sebaliknya.

Slogan ‘merakyatkan’ pembangunan pentadbiran kerajaan negeri, tidak sampai kemana kerana Mamat Jusoh, 65, dari Bukit Tok Hat, dekat sini, mendakwa beliau masih tidak menikmati kemudahan asas dalam kehidupannya.

Sejak dahulu, kini dan mungkin selamanya, beliau masih tinggal di sebuah rumah usang seluas tiga meter persegi dengan berdindingkan papan tanpa mempunyai kemudahan bekalan air dan elektrik.

“Saya sungguh sedih kerana tiada siapa ambil tahu walaupun saya telah tinggal di rumah buruk ini lebih kurang 30 tahun lalu. Lebih mengecewakan apabila Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) sendiri tidak memberikan perhatian.

“Kalau ada pihak kerajaan datang membantu takkanlah saya masih tinggal di rumah yang begitu daif tanpa sebarang kemudahan asas iaitu bekalan air dan elektrik seperti ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Berikutan itu, Mamat ketika ini terpaksa tinggal di rumah anaknya yang juga usang tanpa bekalan air dan elektrik berdekatan rumahnya dan mungkin layak dijadikan rujukan pihak Muzium Negara untuk rujukan umum sebagai satu bahan sejarah.

“Nasib baiklah ada rumah anak dekat dengan rumah saya, kalau tidak saya mungkin mati kepanasan kerana tidak tahan dengan keadaan rumah saya yang terlalu panas pada waktu tengah hari kerana faktor usia,” katanya.

Mamat yang kini tidak mampu untuk melakukan sebarang pekerjaan kerana faktor usia lanjut terpaksa mengharapkan ihsan anak-anaknya yang tinggal di luar kampung berkenaan yang masing-masing sudah berumah tangga untuk meneruskan kehidupan.

Mamat berharap agar pihak kerajaan mempunyai sifat prihatin untuk membantunya dalam masa terdekat ini agar dapat mengecapi nikmat pembangunan dengan pencapaian 53 tahun merdeka.

Ulasan