Umno-BN ‘gelapkan’ masa depan anak muda Melayu Islam

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita28/umnogelapkan.JPGMARANG - Usaha yang dilakukan oleh PAS meningkatkan tahap pendidikan rakyat dihalang oleh dasar dan kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) akan menggelapkan masa depan anak-anak muda dinegara ini.

Penubuhan institusi-institusi pendidikan PAS sering menjadi mangsa tuduhan liar, cemuhan dan kecaman pihak kerajaan Barisan Nasional.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada anggota masyarakat yang memberi kepercayaan kepada kita (PAS), terutama kepada ibubapa dan masyarakat yang memberi kepercayaan kepada kita (PAS) untuk mendidik anak-anak kita (rakyat).

“Jika dalam dewan (Dewan Undangan Negeri) saya kena serang ‘sokmo’ (selalu) oleh Barisan (Barisan Nasional) dan dia (Umno-BN) kata golongan (PAS) yang ‘menggelapkan’ masa depan anak-anak orang kampung.

“Sebenarnya, yang menggelapkan masa depan anak-anak kita (rakyat) bukan kita (PAS). Mereka (Umno-BN) yang menggelapkan masa depan anak-anak kita (rakyat),”kata  Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Harun Taib, dihadapan 200 para hadirin, ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Sempena Jubli Perak Ma’ahad Darul Quran (MDQ) di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, kejayaan PAS mendidik rakyat, tidak akan berjaya tanpa sokongan dan dokongan ahli-ahli parti, ibubapa serta masyarakat.

Katanya, dengan sokongan yang berterusan itu, MDQ kini menjadi sebuah institusi pendidikan yang  berjaya sehingga dapat menghantar lepasan pelajar ke beberapa buah Universiti di luar negara.

Beliau yang juga bekas Exco Pendidikan kerajaan negeri Terengganu berkata, kerajaan PAS yang memerintah Terengganu dari tahun 1999 hingga 2004 telah menjalinkan hubungan kerjasama pendidikan dengan beberapa buah Universiti luar negara.

Dengan usaha tersebut, jelasnya, lepasan pelajar MDQ dan institusi pendidikan PAS yang lain kini, boleh menyambung pengajian masing-masing ke negara Timur Tengah serta Eropah.

Namun begitu, katanya, usaha murni PAS memajukan bidang pendidikan tersebut sering kali diganggu-gugat oleh para pemimpin Umno-BN.

“Usaha kita (PAS) ini selalu diganggu oleh Barisan Nasional. Sijil kita (sekolah PAS) yang boleh memasuki Universiti al-Azhar, Mesir diganggu oleh Barisan Nasional dengan meminta pihak al-Azhar Universiti menghapuskan segala pengiktirafannya terhadap Sijil Thanawi yang dikeluarkan di negara ini.

“Dan ini (tidak iktiraf) bukan terkena kepada kita (sekolah PAS) sahaja tetapi juga sekolah-sekolah kerajaan (negeri) yang lain,” tegasnya.

Beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak menegaskan, antara kejayaan PAS dalam bidang pendidikan adalah, PAS telah menubuhkan kolej universiti sendiri.

Menurutnya, walaupun kemampuan kewangan kerajaan PAS Terengganu hanya melalui wang zakat anak syarikat kerajaan negeri seperti TDM, namun mampu menghantar lebih 50 pelajar ke United Kingdom.

“Selepas itu, kita (PAS) membuat usaha lanjutan untuk membuka Pengajian Peringkat Diploma dan kita (PAS) membuka Kolej (Kolej Universiti Darul Quran Islamiah) dalam usaha untuk mengatasi masalah pendidikan.

“Semasa kita (PAS) memerintah (Terengganu) dulu dengan wang zakat TDM sahaja kita (PAS) mampu menghantar 51 orang pelajar kita ke United Kingdom,” ujarnya.

Justeru itu, katanya bukan PAS yang menggelapkan masa depan generasi muda, tetapi halangan serta tuduhan tidak berasas pihak tertentu khususnya pemimpin Umno menyebabkan anak-anak muda Islam Melayu ketinggalan dalam pendidikan Islam.

Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Dewan Ulama’ PAS Terengganu, Dato’ Husin Awang, Setiausaha PAS Terengganu, Yahaya Ali, Timbalan Pesuruhjaya (III) PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat, Ketua Penerangan PAS Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid dan Ketua Muslimat PAS Terengganu, Safinah Jusoh.

Ulasan