Bekas Pekerja Top IT Dakwa Wujud Penyelewengan Program E-Book

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita31/topitfront.jpgKUALA TERENGGANU - Seorang bekas pekerja syarikat pengeluaran E-Book, Top IT Sdn Bhd, mendakwa terdapat penyelewengan dalam program E-Book atau Buku Elektronik yang dilancarkan kerajaan Terengganu sejak tahun 2009

Beliau yang menghubungi Buletinonline memberitahu, jumlah e-book yang diedarkan kepada pelajar bukanlah 25,000 unit sebagaimana yang diumumkan kerajaan.

(Gambar - Kilang Top IT Sdn Bhd di Gong Badak .... turut didakwa tidak memiliki sijil layak menduduki - CF).

Katanya, pada tahun 2009, syarikatnya hanyalah menghantar sejumlah 23,600 unit e-book sahaja kepada pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu

"Top IT hanya menghantar sebanyak 23,600 unit sahaja dimana baki selebihnya tidak dihantar kepada UPEN walaupun nyata (ia) menjadi hak milik kerajaan negeri Terengganu,"jelasnya melalui satu nota yang dikirm melalui e-mel.

Lebih mengejutkan, beliau yang tidak mahu didedahkan identitinya berkata, unit lebihan E-Book tersebut secara rahsia telah dijual dipasaran disamping sebahagiannya dileraikan untuk dijadikan alat ganti.

Selain itu, beliau mendakwa, rakyat Terengganu yang mendapat E-Book tersebut, 'teraniaya' kerana terpaksa membayar kos baikpulih sekiranya berlaku kerosakkan.

"Rakyat Terengganu berpendapat rendah teraniaya akibat pembayaran baikpulih E-Book, setiap alat ganti dan baik pulih E-Book  dicaj (dikenakan bayaran) walaupun ada 'warranty'(jaminan),"ujarnya.

Beliau turut mendakwa, terdapat kepincangan dalam pengurusan anak syarikat kerajaan Top IT dalam menyelenggarakan pengeluaran E-Book.

Akibatnya, kata beliau, kerajaan negeri telah rugi sebanyak RM1.5juta pada tahun 2009 yang mungkin berulang pada tahun 2010 ini.

"Kepincangan dalam menerajui anak syarikat kerajaan negeri Terengganu (Top IT) menyebabkan kerajaan negeri Terengganu rugi sebanyak RM1.5juta atas pembelian E-Book ini,

"Tidak mustahil perkara ini berulang pada tahun 2010,"katanya lanjut.

Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Said ketika menggulung usul pembentangan bajet tambahan dalam sidang DUN baru-baru ini telah membidas wakil-wakil rakyat PAS yang menurutnya tidak pernah bersetuju dengan apa yang dibuat kerajaan negeri walaupun ia jelas menampakkan kejayaan.

Beliau berkata kerajaan negeri berani berbelanja untuk sesuatu yang bermanfaat kepada rakyat Terengganu seperti perlaksanaan program e-book atau buku elektronik kepada pelajar sekolah dan juga guru walaupun ia dikatakan sebagai membazir oleh wakil-wakil PAS.

Ahmad Said turut menuduh wakil-wakil PAS bersikap konservatif dan enggan bergerak ke hadapan dan mengharapkan kerajaan negeri mengambil pendekatan sama.

Ulasan