Felda digesa Kembalikan Tanah Milik Rakyat Terengganu

http://buletinonline.net/images/stories/berita31/ustmnorhamzah0810.jpgKUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu menggesa Kerajaan Pusat mengembalikan semula tanah milik rakyat Terengganu yang diusahakan secara 'haram' sejak puluhan tahun lalu oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Ketuanya, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya kesal apabila mendapat tahu seluas 15,200 hektar tanah di negeri ini diterokai dan diusahakan oleh Felda tanpa memberi apa-apa manfaat kepada rakyat Terengganu.

“Tiada peneroka dimasukkan ke kawasan itu dan manfaatnya balik kepada Felda.

“Sekarang ada 15,000 hektar tanpa sesiapa memilikinya kecuali Felda, sepatutnya beri pada yang miskin tetapi tiada manfaat kepada golongan itu dan perkara ini tidak selesai sejak mantan Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar sehingga sudah ada hasilnya,” katanya ketika ditemui Buletinonline.

Menurut Ustaz Mohd Nor, Felda telah mengaut laba tidak kurang dari RM100,000 sebulan dari hasil yang dikeluarkan dari tanah tersebut,

Sebelum itu, pada Minggu lalu, dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) 8 dan 9 Ogos, Kerajaan Negeri telah mengulangi pernyataan bahawa Felda mesti berpegang kepada prinsip asal iaitu menempatkan rakyat Terengganu sebagai peneroka di tanah yang telah ditanam dengan kelapa sawit itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kerajaan tetap kekal dengan cadangan itu meskipun Felda kini sudah mempunyai dasar baru iaitu tidak memasukkan peneroka baru di tanah yang diteroka agensi itu sejak Januari 1996.

Justeru, Pemuda PAS mahu supaya kerajaan negeri mengambil tindakan tegas ke atas Felda sebagaimana tindakan yang dikuatkuasakan keatas mana-mana peneroka tanah secara haram.

"Kalau ada rakyat mengusahakan tanah atau mendirikan apa-apa bangunan atas tanah tanpa kelulusan kerajaan negeri, pihak berkuasa segera mengambil tindakan, samada memusnahkan tanaman atau merobohkan bangunan tersebut,

"kita mahu kerajaan Terengganu pimpinan Dato' Seri Ahmad Said bertindak tegas kerana kes Felda mengusahakan tanah secara haram telah berlanjutan lebih 10 tahun lalu,"tegas Ustaz Mohd Nor.

Ulasan