Kejadian Simbah Asid; PAS Sedia Tarbiyah Rakyat Terengganu

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita31/satiful.jpgDUNGUN - PAS sebagai sebuah parti 'kerajaan menunggu' bersedia untuk memberikan pendidikan dan tarbiyah kepada seluruh rakyat Terengganu tanpa mengira latarbelakang dan fahaman politik.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata PAS sedia memberi bantuan, khidmat nasihat serta mengisi program pendidikan dan tarbiyyah kerana pemimpin yang menerajui negeri Terengganu sekarang sudah tidak berkemampuan.



"Ini merupakan tugas kita bersama. PAS sedia memberi bantuan, khidmat nasihat serta mengisi program tarbiyyah, jika pimpinan mereka tidak berkemampuan. Kita boleh perkenalkan usrah, tamrin, daurah, liqa’ fikr, nadwah, ijtima’, mukhayyam dan pelbagai modul tarbiyyah,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika memberi respon terhadap kejadian simbah asid, yang sangat menyayat hati, sebagaimana dilaporkan berlaku di Hulu Terengganu.

Menurutnya kejadian tersebut amat mendukacitakan dan menyentuh perasaan dan beliau menyifatkan tindakan yang diambil oleh 'penyimbah asid' itu sebagai tindakan diluar batas perikemanusiaan.

"Bagaimana beliau (lelaki penyimbah asid) boleh bertindak demikian terhadap keluarganya sendiri. Tergamak menggunakan cuka belanda (Asid cecair) dan menyimbah terhadap isteri termasuk mertua dan anak-anaknya sendiri,"katanya.

Sehubungan itu, Ustaz Satiful yang juga bekas ADUN Paka menyarankan supaya kerajaan mengambil langkah-langkah segera untuk menangani permasalahan tersebut.

"Kerajaan perlu mengambil langkah-langkah segera untuk menangani permasalahan (simbah asid) ini. Jika tidak ia semakin merebak dan tak terubat,"saran Ustaz Saiful dalam posting terbaru laman blognya.

Beliau juga memberi peringatan kepada kerajaan Umno dan BN Terengganu meletakkan pembangunan insan sebagai agenda utama kerajaan dan bukannya terlalu menumpukan kepada pembangunan fizikal semata-mata.

"Jangan hanya menumpukan kepada pembangunan fizikal (sahaja) yang hanya mendapat laba dan kebendaan kepada kantung poket peribadi, tetapi (mesti)meletakkan agenda pembangunan insan sebagai agenda utama,"katanya.

Kejadian simbah asid yang berlak di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu 16 Ogos lalu mengakibat 4 sekeluarga melecur teruk.

Dalam kejadian pada pukul 1.45 pagi itu, suspek dipercayai bertindak demikian kerana berang dengan keputusan mangsa yang telah berpindah pulang ke rumah ibunya dan dalam proses memohon penceraian dengan suspek.

Semasa kejadian suspek didakwa memecah masuk rumah ibu mangsa dengan membawa bersama sebungkus plastik mengandungi cecair asid. Kehadiran suspek mencetuskan pertengkaran dengan mangsa sebelum mangsa cuba merebut bungkusan asid itu dan menyebabkan cecair itu terkena mangsa.

Tindakan suspek itu menyebabkan mangsa Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, cedera di muka dan kedua-dua belah tangan serta bahagian belakang badan. Turut melecur dua orang anak mangsa, Nurul Dahyatul Fazlinda Khalid, 8, dan Mohd. Irfan Firdaus, 2, serta ibunya, Minah Omar, 56.

Masing-masing melecur di beberapa anggota badan. Paling teruk, Nurul Dahyatul yang mungkin hilang deria penglihatan apabila seluruh muka sehingga paras dada kanak-kanak itu terkena asid.

Ulasan