Maahad Darul Quran sambut jubli perak

http://buletinonline.net/images/stories/berita30/Dato%27HusinAwang.JPGRusila, MARANG - Maahad Darul Quran (MDQ) Rusila akan menganjurkan Sambutan Jubli Perak MDQ, sempena 25 tahun penubuhannya bermula 5 hingga 7 Ogos ini.

Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah MDQ, Dato' Husain Awang (gambar) yang juga Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu berkata, majlis perasmian dan penyampaian anugerah-anugerah khas MDQ akan diadakan pada 5 Ogos oleh Presiden Pas, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, pada hari itu juga, pelancaran buku ‘Jubli Perak MDQ’ akan turut diadakan sebagai penanda aras kejayaan MDQ melahirkan generasi al-Quran yang unggul, sejak 1985 lagi.

“Sejak beroperasi, kita telah berjaya melahirkan 1,489 pelajar dan pada tahun ini sahaja, seramai 72 orang akan menamatkan pengajian yang setaraf dengan pendidikan menengah atas Sijil Thanawi.

“Setakat ini, kebanyakan pelajar kita berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar di Mesir, malah ada yang berjaya hingga ke Iran, Yaman, Iraq, Indonesia, Pakistan, United Kingdom dan pelbagai institusi pengajian dalam dan luar negara, tanda pengiktirafan terhadap lulusan MDQ,” katanya.

Menurutnya, sempena sambutan itu juga, jamuan sambil menderma akan diadakan di pekarangan Masjid Rusila pada 6 Ogos ini, bermula jam 7 pagi hingga jam 12 tengah hari, manakala pada sebelah petangnya, akan diadakan Majlis Ihtifal Idul Ilmi di Dewan Besar MDQ.

Pada malamnya akan diadakan Majlis Kesenian Islam manakala pada 7 Ogos pula, seminar pendidikan Islam akan diadakan, diikuti Ijtima’ Alumni pada sebelah petangnya.

Ceramah perdana akan diadakan sebelah malamnya.

“Terima kasih diucapkan kepada Majlis Ibu Bapa dan Guru (MIBG) MDQ dan semua dermawan,” katanya.-SinarHarianOnline

Ulasan