PAS Gandakan Amalan Kebajikan di Bulan Ramadan

http://buletinonline.net/images/stories/berita31/hanafiahgroyong1.JPGKUALA TERENGGANU - PAS Meningkatkan usaha dan amalan kebajikannya dalam bulan Ramadhan kerana Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai 'kelebihan' dari seribu bulan yang lain.

Pada bulan Ramadhan Allah SWT akan melipat gandakan segala amalan baik dengan ganjaran pahala-Nya.

Di Chukai, Kemaman, ahli dan penyokong PAS menyingsing lengan bantu membantu dan bergotong-royong membaiki rumah seorang warga emas, Mohamad Abdullah, 60, di Kampung Besut. (Gambar kanan)


Pengarah Majlis Tindakan DUN Chukai, Haji Hanafiah Mat berkata meski pun aktiviti yang dilakukan di bulan Ramadan agak memenatkan tetapi ia bukanlah halangan bagi PAS terus menghulurkan bantuan kepada rakyat.

“Kita (PAS) tahu sebarang aktiviti pada bulan (Ramadan) ini sangat memenat dan meletihkan, tetapi sebagai sebuah parti gerakan Islam PAS tidak menjadi masalah.

“Dalam kerja-kerja membantu rakyat tidak ada istilah penat, lelah dan letih kerana kita (umat Islam) diberi ganjaran oleh Allah SWT,” jelas Haji Hanafiah.

Menurutnya, penyertaan masyarakat setempat dalam gotong-royong tersebut mendapat sambutan memberangsangkan.

Katanya, golongan fakir miskin, ibu tunggal dan anak yatim perlu diberi perhatian serta keutamaan.

“Saya juga menjalinkan kerjasama dan hubungan dengan pelbagai agensi korporat di sini (Kemaman) bagi mendapat sumbangan untuk disalurkan kepada golongan memerlukan pada bulan Ramadan ini,” ujarnya.

Tambahnya lagi, PAS sinonim sebagai sebuah parti berkebajikan yang lebih dikenali umumnya melalui Unit Amal dan Yayasan Amal Malaysia.

Pada majlis gotong-royong tersebut seramai lebih 50 orang menyertai aktiviti membaik-pulih rumah Encik Mohamad Abdullah.

Dalam pada itu, Muslimat PAS tidak ketinggalan merebut ganjaran yang besar bulan Ramadhan turut menghulurkan tangan, membantu golongan yang kurang berkemampuan.

Di Tepoh, Kuala Nerus, Lajnah Kebajikan Hal Ehwal Wanita (Halwa) Dewan Muslimat PAS, telah menyampaikan sumbangan kepada 63 orang fakir dan miskin.

http://buletinonline.net/images/stories/berita31/norzita.JPGTimbalan Pengerusi Halwa Negeri, Dr Norzita Taat (gambar kiri) berkata kebajikan muslimat negeri sentiasa melaksanakan aktiviti bagi membantu golongan tidak bernasib baik.

Katanya, aktiviti berkebajikan sentiasa diadakan dari masa ke semasa terutama di bulan Ramadan yang mulia ini.

“Kebajikan muslimat negeri, kita (Halwa) sentiasa melaksanakan aktiviti ini untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik dari masa ke semasa.

“Terutamanya, di bulan Ramadan yang mulia ini untuk membantu mereka (fakir miskin) bagi menghadapi hari raya (Idulfitri).

“Kita (muslimat) mahu melihat supaya rakyat yang miskin, yang kurang berada ini hidup dalam suasana tolong menolong antara satu sama lain, Insya’Allah,” ujar Dr. Norzita.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Cakna Mesra Lajnah Kebajikan Hal Ehwal Wanita (Halwa) Dun Tepoh, di Pusat Khidmat Kampung Tok Jiring, dekat sini, 17 Ogos lalu. 

Menurutnya, PAS merupakan sebuah parti berkebajikan yang menjadi harapan baru serta sandaran rakyat di masa hadapan.

Katanya, PAS sentiasa membantu rakyat sama ada ketika menjadi kerajaan atau tidak kerana tuntutan Islam.

Dr Norzita yang juga isteri kepada Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awan, berkata PAS sentiasa membantu rakyat samada ketika menjadi kerajaan atau tidak,  kerana ia menjadi suatu tuntutan dalam Islam.

Ulasan