Ahmad Said Marah Jabatan Audit

http://buletinonline.net/images/stories/berita32/Audit%20001.jpgKUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Ahmad Said menuduh Jabatan Audit seolah-olah mensabotaj kerajaan negeri kerana maklumat laporan audit keatas syarikat Top IT Industries Sdn Bhd. terdedah kepada umum.

Ahmad dipetik Bernama berkata, beliau telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri memanggil pihak daripada Jabatan Audit yang dipercayai mendedahkan beberapa maklumat mengenai syarikat itu kepada pembangkang.

"Saya tidak faham mengapa Jabatan Audit telah memberi laporan berkenaan kepada pihak pembangkang jika ada berlaku perkara sedemikian. Apa tujuan Audit berbuat demikian seolah-olah hendak sabotaj kerajaan negeri dalam perkara ini?.


"Sepatutnya Audit memberi laporan terlebih dahulu kepada kerajaan sebelum mendedahkan kepada pihak lain jika ada sebarang perkara yang tidak kena berlaku," tegasnya

Sebelum itu, Ahmad telah memberi pengesahan bahawa, kilang Top IT Industries Sdn Bhd, syarikat yang memasang e-Book adalah selamat dan tidak mendatangkan bahaya kepada pekerjanya.

Beliau berkata perkara itu disahkan oleh juruperunding dan pembinaan kilang itu mengikut peraturan yang ditetapkan.

Kilang itu hanya mengalami keretakan biasa pada dinding yang tidak mendatangkan bahaya kepada pekerja, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Batu Buruk Dr Syed Azman Syed Ahamad Nawawi pada Khamis lepas bahawa kilang anak syarikat kerajaan negeri berharga RM12 juta itu tidak selamat kerana retak selain tidak ada sijil layak menduduki (CF).

Menteri Besar berkata: "Sekarang CF sudah tidak dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan lagi tetapi oleh juruperunding dan mereka menyatakan bangunan itu selamat untuk digunakan".

Beliau menegaskan bahawa kilang berkenaan hanya berharga RM7.9 juta dan bukannya RM12 juta seperti didakwa.

Ulasan