Kerajaan Umno/BN Terengganu Tiada Budi Bicara

http://buletinonline.net/images/stories/berita33/wookawang.jpg- Bayaran Pengambilan Tanah Ladang Terlalu Rendah, Tidak Setimpal
KUALA TERENGGANU
- Seorang penduduk asal Kampung Ladang, Roselan Zakaria, 49, mendakwa bayaran pampasan diberikan kepadanya serta 28 orang penduduk di Kampung Ladang Tok Pelam tidak setimpal.

Katanya, sebuah kedai makan yang menjadi punca mata pencarian keluarga hanya dibayar saguhati sebanyak RM2,500 berbanding tuntutan dibuat RM20,000 penilaian.

“Saya rasa cukup tidak puas hati kerana kedai (premis) perniagaan yang dijalankan sejak lebih lima tahun bersama empat buah kedai lain hanya dibayar RM2,500 sebuah pada 18 Ogos lalu,” jelasnya.

Malah, katanya ada di kalangan penduduk yang tinggal di atas rezab kerajaan sejak lebih 50 tahun lalu hanya dibayar ‘saguhati’ RM6,000 bagi sebuah rumah.

Puan Wook binti Awang, 65, (Gambar kiri) mendakwa kerajaan negeri hanya membayar saguhati harga sebuah rumahnya sejumlah RM6,000 sahaja.

“Saya duduk di Kampung Ladang (Tok Pelam) ini selama lebih 42 tahun tetapi pengambilan balik tanah oleh kerajaan saya hanya dibayar RM6,000 sahaja atas sebuah rumah.

“Saya sedih dengan apa yang berlaku ini meski pun keluasan rumah hanya 20x40 kaki persegi dan tidak setimpal dengan keadaan semasa hari ini,” ujarnya dengan nada sedih.

Beliau kini tinggal bersama suaminya yang berusia lebih dari 70, keuzuran serta tidak lagi bekerja sejak 12 tahun lalu.

Sehubungan itu, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar, kerajaan Terengganu sepatutnya meletakkan 'budi bicara' dalam menyelesaikan  isu rakyat serta penduduk di Kampung Ladang.

“Kita (PAS) telah bangkit dalam dewan (Sidang Dun Terengganu) lalu kenapa kerajaan tidak bayar pampasan kepada 28 buah rumah penduduk yang terlibat dengan pengambilan balik tanah oleh kerajaan?

“Waktu itu (dewan), kerajaan jawab tidak ada peraturan yang memaksa kerajaan bayar. Tapi saya (Adun Ladang) jawab, tidak ada juga peraturan menghalang kerajaan untuk bayar,” ujar beliau yang juga bekas Pengarah Tanah dan Galian negeri Tengganu.

Maknanya, kata beliau jika kerajaan negeri mahu bayar pampasan yang setimpal boleh dibayar atas budi bicara.

Menurutnya, jika untuk tujuan lain yang tidak berfaedah kerajaan boleh buat tetapi kenapa untuk rakyat ini tidak boleh berbuat demikian.

“Untuk penganjuran Monsun Cup berbelanja ratusan juta boleh diperuntukan. Saya rasa cara pentadbir itu tidak tepat dan bukan soal peraturan tetapi soal budi bicara yang tidak digunakan sebaik mungkin,” jelasnya.

Justeru, beliau akan terus memberi perhatian.perhatian kepada penduduk yang terlibat dan berjanji membawa isu berkenaan sekali lagi pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu akan datang

Ulasan