KUDQI berkembang pesat sejak 12 tahun lalu

http://buletinonline.net/images/stories/berita33/konvokuqi1.jpg- Diploma diIktiraf Universiti Timur Tengah dan Eropah
HULU TERENGGANU
- Kolej Universiti Darul Quran Islamiah (KUDQI) berkembang sejak ditubuhkan 12 tahun lalu, merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta yang mendapat pengiktirafan Universiti Al-Azhar, Mesir.

KUDQI menawarkan dua kuliah pengajian peringkat Diploma; Syariah dan Usuluddin (Tafsir dan Hadis) yang dilaksanakan melalui program 3 + 1, tiga tahun di Kudqi dan satu tahun di Universiti Al-Azhar


Selain itu, Diploma KUDQI turut diiktiraf  beberapa Pusat Pengajian Tinggi lain seperti Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah Jakarta, Indonesia dan European Institute Of Human Sciences, Highmead Foundation, United Kingdom bagi tujuan melanjutkan pelajaran

Majlis Konvokesyen KUDQI Kali Ke-8 tahun 2010, telah diadakan di Markaz Tarbiyyah PAS Kubang Lembek, Manir, Hulu Terengganu, pada Sabtu 18 September.

Menurut Pengarahnya Ustaz Mahmood Sulaiman, seramai 48 orang graduan telah berjaya menamatkan diploma masing-masing; 31 dari Fakulti Syariah Wal-Qanun dan 17 orang lagi dari Fakulti Usuluddin.

“Sebahagian dari mereka (graduan) akan menyambung pengajian di Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah Jakarta, Indonesia pada 21 September 2010 ini untuk memperolehi Ijazah Sarjana Muda dan sebahagian lagi ke Yaman dan Kolej Universiti Insaniah Kedah,” ujarnya.

http://buletinonline.net/images/stories/berita33/konvokuqi3.jpgSementara itu, pelajar cemerlang, Nur Fatimah Hkimah Mohd Zawawi, 21, menerima anugerah berkembar iaitu Anugerah Amirul Mukminin Abu Bakr dan Anugerah Imam Syafie.

Anak keempat dari 10 adik-beradik berjaya menamatkan pengajian Diploma dengan keputusan Jayyid Jiddan.

Nur Fatimah adalah lepasan Pusat Pengajian Taman Islam Kemaman, telah membuat keputusan menyambung pengajiannya ke Kolej Universiti Insaniah Kedah.

“Saya ucap terima kasih kepada ibubapa, guru dan rakan-rakan yang banyak mendorong kejayaan saya di Kudqi kali ini.

“Saya akan meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan semoga menjadi seorang faham Islam dengan al-Quran dan Hadis Nabi SAW,” ujarnya.

Rakannya, seorag lagi pelajar cemerlang, Nur Hidayah Mohamad, 21, dari Kampung Kesom, Manir menerima Anugerah Imam Ibn Kathir.

Beliau merupakan anak bongsu dari lapan adik-beradik dan datang dari keluarga berpendapatan sederhana.

“Saya dari keluarga biasa sahaja di kampung yang berpendapatan keluarga tidak besar tetapi bercita-cita tinggi untuk terus berjaya dalam pelajaran.

http://buletinonline.net/images/stories/berita33/konvokuqi2.jpg“Saya akan menyambung ke pusat pengajian tinggi dalam negeri sahaja dan jika ada rezeki bercita-cita ke Mesir, Syria atau Jordan, Insya’Allah,” jelasnya.

Manakala, penerima Anugerah Imam Al-Bukhari, Zaida Zainal Abidin, 22, dari Setiu bercita-cita menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi di luar negara.

Beliau merupakan anak keempat dari tujuh orang adik-beradik mempunyai minat membaca, mengembara dan menanam pokok.

“Saya bersyukur dengan kejayaan ini dan berharap dapat terus sambung belajar ke peringkat lebih tinggi di luar negara.

“Saya ada beberapa pilihan termasuk ke Indonesia. Apa yang penting matlamat pengajian adalah untuk perjuangan Islam, Insya’Allah,” ujarnya.

Penyampaian anugerah dan sijil KUDQI disempurnakan oleh Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat, Dato’ Harun Taib dan hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Pengerusi Kudqi, Dato’ Abu Bakar Chik dan Pengarah Kudqi, Ustaz Mahmood Sulaiman.

Ulasan