PAS perlu ganti Umno kerana Umno khianati bangsa Melayu

KUALA TERENGGANU - Rencana yang diterbitkan dalam akhbar Berita Harian semalam, Isnin 20 Februari, yang bertajuk ''Mengekang nafsu PAS tawan semula Terengganu' mengesahkan akhbar tersebut adalah lidah rasmi Umno selepas Utusan Malaysia.

Saya mencadangkan agar penulis rencana tersebut, Abdul Halim Yusoff, yang juga Ketua Biro Berita Harian negeri Terengganu, mengusulkan kepada pihak pengurusan New Straits Times Press, syarikat keluarga yang mencetak Berita Harian supaya meletakkan label 'Hanya Untuk Ahli Umno Sahaja' kepada Berita Harian sebagaimana label yang diletakkan kepada Harakah.

Barulah senang kita bertarung! Bukan berselindung disebalik perisai 'dana awam', tetapi tunduk dan 'kow tow' kepada Umno!

Yang lebih memeranjatkan, Abdul Halim yang dikenali sebagai seorang wartawan kanan kerana profesionalismanya, tiba-tiba berlagak seperti 'pakar gerak saraf Umno' yang dari nada tulisannya itu, menasihatkan rakyat, kononnya berhati-hati dengan gagasan 'PAS Ganti Umno' (PGU) yang dibawa oleh PAS.

Apa yang menjadi 'kisah pahit' zaman pemerintahan PAS 1999 - 2004 yang perlu dingat-ingatkan oleh Halim?

Adakah tentang propganda ciptaan Umno 'kanak-kanak tadika Kemas dihalau' yang masih menjadi aqidah Halim?

Kemas bukanlah agensi kerajaan, tetapi ia adalah agensi Parti Umno dan bukankah gambar itu adalah lakunan yang diatur lalu dirakamkan oleh seorang rakan jurugambar Berita Harian kalau pun tidak Utusan!

Pembangunan apakah yang dilakukan oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional, yang telah membelanjakan hampir RM2 bilion setahun dan dari 2005  hingga sekarang belanjawan negeri Terengganu telah mencecah RM10 bilion???

Soal pembangunan negara yang perlu diingat-ingatkan dalam tulisan itu, adakah ia berkaitan bekalan air bersih, bekalan tenaga elektrik, bantuan itu dan bantuan ini yang mahu diungkit-ungkit?

Sedang membangunkan negeri atau negara itu memang menjadi satu tanggungjawab mana-mana parti politik yang diberikan mandat untuk memerintah, hatta negara komunis Rusia dan China juga membangunkan negara mereka, sama seperti negara demokrasi Amerika Syarikat ataupun negara beraja seperti United Kingdom.

Umpama tanggungjawab kita sebagai ibu bapa untuk membesarkan anak-anak kita, memberi pakai dan minum, memberikan pendidikan.

Adakah apabila anak kita besar nanti, dan tidak mahu lagi tinggal bersama kita, lalu kita mengungkit segalanya dan menggelarnya sebagai tidak mengenang budi dan penderhaka??

Bukan itu semua sebabnya mengapa PAS mesti menggantikan Umno! Bukan secara totok kerana pembangunan, bukan kerana memberikan kita pendidikan dan pekerjaan.

Tetapi, masalah nilai yang dibawa oleh Umno adalah nilai yang merosakkan,

Sebagai huraiannya, untuk 'round' yang pertama Jabatan Penerangan PAS Terengganu telah mengeluarkan risalah 'Sebab-sebab Mengapa PAS Perlu Ganti Umno - Umno Khianat Agama Islam.

Antara nilai merosakkan yang menjadi dasar Umno adalah, Umno menghalalkan judi.

Selain itu, nilai merosakkan agama yang paling besar nilai khianatnya adalah Umno tidak mahu melaksanakan undang-undang Islam, Enakmen Jenayah Syariah yang telah diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu dan telah diperkenankan oleh Tuanku Sultan.

Itulah antara sebabnya.

Dan untuk 'round' yang kedua, akan diterbitkan pula secara telus dan terbuka, dasar-dasar Umno yang telah merosakkan bangsa Melayu.

Yang pertamanya, Umno telah menghapuskan tulisan jawi, yang berasal dari Bahasa Arab, yang menjadi tulisan al-Quran.

Kira-kira 30 tahun dahulu, bekas Setiausaha Agung Umno, Khir Johari (gambar atas) telah menjadi Menteri Pelajaran.

Khir Johari terkenal dan tersohor di bawah Kementerian Pelajaran. Beliau telah melakukan satu reformasi dalam pendidikan negara apabila menghapuskan tulisan jawi sebagai tulisan utama dan tulisan pengantar kepada Bahasa Melayu.

Bermula dari itu, semua pelajaran yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ditukar tulisannya ke dalam tulisan rumi.

Akibatnya, berpuluh-puluh ribu anak-anak bangsa Melayu Islam buta jawi, sekaligus buta al-Quran.

Maka, apakah itu suatu nilai baik hasil dari pemerintahan Umno??

Ulasan