PRK Merlimau; 13 Februari tentukan calon


http://buletinonline.net/images/stories/berita39/Ariffinderaman.JPG- PAS Terengganu tunggu arahan Pusat
KUALA TERENGGANU - PAS akan menentukan calonnya pada 13 Februari ini, bagi mewakili Pakatan Rakyat untuk bertanding dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan negeri (DUN) Merlimau , Melaka, 6 Mac depan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata demikian ketika mengulas keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang diadakan di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP petang semalam, Isnin, 7 Februari.

Ketika mengumumkan keputusan sebulat suara Pakatan Rakyat itu, Ketua Umum PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim menafikan khabar angin bahawa Pakatan akan meletakkan sebarang calon sebagaimana dihebohkan sesetengah media.

"Tentang Merlimau kami setuju sebulat suara untuk sokong calon PAS dan seluruh jentera Pakatan Rakyat akan membantu.

“Kami telah bincang dan bersetuju menyokong calon PAS sebagai wakil Pakatan,” kata Anwar.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang hadir bersama dalam sidang media itu meminta supaya seluruh jentera Pakatan Rakyat khususnya PAS, dikerahkan untuk berkempen.

Sehubungan itu, jentera PAS negeri Terengganu sudah bersedia dan akan bergerak pada bila-bila masa sekiranya diarahkan oleh pihak PAS Pusat.

Pengarah Pilihanraya PAS Terengganu, Ariffin Deraman berkata, keputusan semalam adalah di peringkat Pakatan Rakyat dan Jabatan Pilihanraya PAS Pusat akan bermesyuarat dalam menentukan strategi yang akan diambil.

"Kita tunggu arahan daripada (PAS) Pusat, kita bersedia bila-bila masa kerana kita baru saja balik dari (PRK) Tenang, PAS Pusat akan bermesyuarat dan Jabatan Pilihanraya akan menentukan strategi, kita tunggu....,"ujarnya ketika dihubungi Buletinonline.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan selepas mengalami serangan jantung pada 20 Januari lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari sebagai tarikh penamaan calon dan sekiranya ada pertandingan, pengundian pada 6 Mac.

Pada pilihan raya umum 2008 itu, calon parti PAS Jasme Tompang tewas di tangan Mohamad Hidhir dengan majoriti 2,154 - peningkatan hampir 3,000 undi berbanding pencapaian pembangkang empat tahun sebelumnya.

DUN Merlimau mengandungi 10,679 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 10,643 pengundi biasa dan 36 pengundi pos.

Ulasan