Orang muda 'King-Maker' PRU-13


http://buletinonline.net/images/stories/berita46/yahya.JPGKUALA TERENGGANU - Pemuda dan pemudi yang melebihi 50 peratus dari jumlah pengundi di negeri Terengganu bakal menjadi 'king maker' atau penentu kemenangan parti-parti yang bertanding dalam pilihanraya umum ke-13 akan datang.

Menurut Setiausaha PAS Terengganu, Haji Yahaya Ali, pengundi muda akan menentukan samada Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional yang akan mentadbir negeri ini selepas pilihanraya umum tersebut.

[Gambar - Haji Yahya Ali mengiring Mursyidul Am PAS, Dato'Dr Haron Din, memeriksa perbarisan Unit Amal sebelum Mesyuarat Agung di mulakan]




“Undi orang muda ini akan menjadi undi penentu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Di Terengganu ini, pemuda yang berumur 40 tahun ke bawah adalah mewakili lebih 50 peratus pengundinya.

“Pemuda yang berumur 21 hingga 25 tahun pula mereka mewakili 10 peratus daripada pengundi-pengundi yang akan menentukan kalah-menang kita dalam pilihan raya akan datang,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-27, PAS Kawasan Marang di sebuah Resort di Kuala Ibai, disini,  pada Sabtu 23 April.

Oleh itu. katanya Pemuda PAS wajar memberi perhatian serius dengan melakukan gerak kerja parti secara yang lebih fokus kepada sasaran.

Beliau menyarankan Pemuda memanfaatkan semaksima mungkin segala kemudahan teknologi maklumat (ICT) seperti khidmat sistem pesanan ringkas (sms), surat elektronik (email) dan blog.

“Ini (isu) supaya dapat diberi perhatian oleh Pemuda (PAS) dan gerak kerja kena fokus kepada sasaran. Selain itu, penggunaan ICT, sms, email, blog dan lain-lain dimaksimakan,” ujarnya.

Haji Yahya yang juga, Yang Dipertua PAS Marang mengingatkan semua ahli PAS agar menghindarkan diri dari gejala ‘penyakit’ boros, gopoh, kaku serta sambil lewa dalam perjuangan ini.

Menurutnya, gejala tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada individu terbabit juga terhadap jamaah Islam.

“Penyakit mereka (ahli) yang berada dalam jamaah dan perjuangan Islam antaranya pemborosan, gopoh, memencilkan diri dan penyakit yang sebelum ini aktif kemudian jadi tidak aktif.

“Salah satu daripada ciri-ciri memencilkan diri itu ialah sikap sambil lewa dalam mengambil tanggungjawab dan menguruskan amanah yang telah diberikan kepada seseorang.

“Kesannya, kepada individu (ahli) dan jamaah (parti) berkenaan yang sedikit sebanyak melambatkan hasil kemenangan yang dicita-citakan itu,” jelasnya.

Ulasan