SETIU - Bob Lokman minta sidang hadirin khususnya warga DUN Permaisuri 'kirim salam' kepada ADUN Permaisuri dari BN, Halim Jusoh, kerana katanya Halim adalah kawan lama beliau.
"Kawasan Permaisuri ni saya ada kawan, kawan lama...... lama tak jumpa dengan dia, tiba-tiba dengar dia dah jadi wakil rakyat, namanya Saudara Halim Jusoh,
"takut dia ada dalam ramai-ramai ni, lama saya tak jumpa dia, siapa-siapa yang ada jumpa dia, atau ada duduk sebelah Halim Jusoh, cakap (dengan dia) saya kirim salam,
"sebab sekarang ni, kalau saya telefon dia dah tak jawab lagi, dudlu-dulu kalau telefon selalu jawab, sekarang semenjak kita masuk PAS ni, jadi macam bermusuh pula,"ujar Bob ketika memulakan ceramahnya di Kampung Alor Serdang, Permaisuri, dekat sini, 30 April lalu.
Bob turut memberitahu lebih 500 hdirin yang hadir, bukan sahaja orang politik sudah 'tidak suka' kepada beliau, tetapi juga dikalangan artis yang menjadi kawan lamanya.
Menurutnya beliau terkejut apabila membaca berita yang disiarkan akhbar Harian Metro yang bertajuk 'Awie hentam Bob', sedangkan kata Bob, Awie adalah kawan baiknya.
"Awie kawan baik saya, saya menguruskan Aie ni sebelum dia rakam album lagi, saya berkawan dengan dia, dia selalu belanja saya makan, sebab dia anak orang kaya,
"belanja saya makan...petang-petang, saya tak ada duit masa tu, sebab saya tak ada duit,"ujar Bob menceritakan kisahnya.
Apabila ditemui Buletinonline, Bob kata dia tidak marah kepada Awie kerana mungkin Awie salah faham.
Ikuti dibawah, siaran berita akhbar terbabit dan Lihat dan Dengar penjelasan Bob Lokman melalui ceramahnya di Buletin Online Channel dan Buletinonline Radio
Bob yang agak letih, kerana sudah tidak pulang ke rumah sejak 5 hari lalu, bagaimana pun gembira apabila bertemu seorang 'warisnya' Ayah Lah (gambar kiri bawah) yang tinggal di Balik Bukit, Permaisuri.
Mereka berdakapan dan bertanya khabar serta mengucapkan salam sejahtera, sebelum Bob berlepas pula untuk menghadiri program di Batu Pahat, selepas sehari sebelumnya, berceramah di negeri Kedah.
____________________________________________________________________________________________________________________________________
‘Bob usah hipokrit, riak’ – Teguran Dari Awie Wings
KUALA LUMPUR: “Jangan hipokrit, jangan cari publisiti murahan dan jangan riak,” kata penyanyi kumpulan Wings, Awie kepada pelakon dan pengacara, Bob Lokman yang kebelakangan ini dikatakan kerap ‘menyerang’ dunia hiburan selepas bersara daripada bidang itu.
Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 43, berkata jika Bob mahu mencari ilmu akhirat, tidak perlu dia mencari publisiti dengan usahanya itu kerana itu bukan perbuatan yang baik.
Awie turut menegur Bob yang nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman, 47, supaya memberikan tumpuan terhadap dunia baru yang beliau cari dan pada waktu sama tidak menyerang dunia hiburan yang beliau ceburi sebelum ini.
“Dia (Bob Lokman) pernah menjalani kehidupan dalam dunia hiburan ini untuk tempoh belasan tahun lamanya dan memperoleh pendapatan daripada dunia yang beliau kutuk ini.
“Apa yang saya hendak ingatkan Bob supaya tidak melakukan perbuatan yang boleh memalukan diri sendiri, bak kata pepatah meludah ke langit terkena muka sendiri.
“Kita pernah sama-sama ‘cari makan’ dalam bidang sama, tetapi apabila rasa nak beralih arah kenapa pula dia nak kutuk bidang yang pernah digelumangi,” katanya yang mendakwa mengenali Bob Lokman sejak 1985.
Tanpa berselindung, Awie berkata, tempoh yang cukup lama itu membuatkan dia mengenali latar belakang Bob yang kini aktif dalam bidang keagamaan.
“Lebih baik Bob memberikan tumpuan terhadap dunia baru yang dicari dan pada waktu sama tidak merendah-rendahkan dunia hiburan,” katanya.
Kenyataan Awie itu susulan kenyataan Bob dalam satu laman portal hiburan bahawa pengundurannya dalam dunia seni disebabkan tidak lagi mempercayai dunia hiburan yang dianggapknya unsur tidak baik.
Kata Bob, dia kini mahu memberi tumpuan kep[ada aktiviti dakwah kerana sepanjang berkecimpung dalam dunia seni, banyak perkara tidak elok berlaku dalam bidang itu.
Dia turut menekankan mahu melakukan amal jariah sebanyak mungkin sebelum meninggal dunia dan tidak mahu mati dalam keadaan leka dengan melakukan perkara sia-sia.
Mengulas kenyataan Bob itu, Awie berkata , Bob perlu sedar dengan apa yang diperkatan dan tidak boleh riak serta mengundang rasa tidak senang pihak lain.
“Jangan cari publisiti murah dan jangan melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan perasaan riak yang hukumnya dosa. Lebih baik tutup mulut dan tidak menyakiti hati orang lain.”
“Jangan ingat hanya kita saja lebih baik berbanding orang lain. Kami (artis) juga manusia mencari yang mencari rezeki diberikan Allah,”katanya.
Awie memberi contoh, artis Barat terkenal yang memeluk Islam seperti Yusuf Islam yang nama asalnya Cat Stevens tidak pernah menghebohkan kegiatan aktiviti dakwahnya dan tidak memburukkan orang lain.
Awie berkata sebagai artis dia akan menjalani kehidupan sepertii sedia ada sampai masa untuk beralih arah kerana itu sebahagian daripada kehidupan..
Ulasan