Terengganu masih belum terima bayaran royalti


http://buletinonline.net/images/stories/berita47/sidangdun.gifKUALA TERENGGANU - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut berkata pemberian ‘dana khas’ sebanyak RM938 juta dari Kementerian Kewangan dan bukan bayaran sebenar hasil royalti minyak oleh Petronas.

Beliau tidak berpuas hati dengan jawapan kerajaan mengenai jumlah serta kaedah pembayaran tersebut.

Katanya, perjanjian dibuat antara kerajaan negeri dengan pihak Petronas dan kerajaan Persekutuan yang dimeterai sejak tahun 1975 atas nama bayaran “royalti”.

“Royalti atau ‘Dana Khas’, biar jelas. Saya masih tidak puas hati, perjanjian antara kerajaan negeri dengan Petronas dan yang dibayar ini cukup angka RM670 juta, RM938 juta ini angka genap.

“Semasa Petronas bayar (royalti) dahulu sampai ke ‘sen’ pun dia (Petronas) kira. Maknanya, tidak ada kaitan dengan kementerian. Kementerian Kewangan kerajaan Pusat. Dia sendiri dapat lima peratus sebagaimana negeri Terengganu dapat lima peratus itu.

“Ini dibayar bukan dalam bentuk royalti. Saya hendak minta biar dapat pengesahan bila hendak beri dalam bentuk royalti ikut perjanjian asal sebagaimana yang ditandatangani dalam perjanjian 22 Mac 1975,” tegasnya.

http://buletinonline.net/images/stories/berita47/pcwahidsidangdun.JPGWahid berakata kerajaan Terengganu perlu menjelaskan soalan lisan yang dikemukakan Adun Rhu Rendang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkaitan perkara tersebut dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Selasa, 10 Mei.

Ustaz Abdul Hadi dalam soalannya meminta kerajaan menyatakan, apakah terma-terma yang dipersetujui dalam rundingan antara Kementerian Kewangan, Kerajaan Terengganu dan Petronas untuk mengembalikan semula royalti petroleum kepada kerajaan negeri dan jumlah yang telah dibayar pada bulan Mac 2011.

Berikutan itu, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said ketika menjawab persolan tersebut mengesahkan tidak ada terma baru dan perjanjian baru dibuat antara kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan.

“Tiada terma baru dan tiada perjanjian baru akan dibuat antara kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan. Dan sehingga bulan Mac 2011, kerajaan Terengganu menerima wang ‘royalti’ sebanyak RM670 juta dari jumlah yang sepatut diterima sebanyak RM938 juta tahun lalu,”  jelasnya.

Menurut beliau, pemberian pertama diterima sebanyak RM670 juta, minggu ini dijangka akan menerima lagi sebanyak RM150 juta.

Manakala, katanya jumlah yang berbaki sebanyak RM118 juta lagi akan diagihkan pada bulan Jun 2011.

Sementara itu, Bernama, dalam laporan berita bahasa Inggerisnya berkaitan perkara diatas menyebut, bayaran royalti akan dijelaskan melalui Kementerian Kewangan.

Sedangkan dalam perjanjian yang ditandatangani dalam perjanjian 22 Mac 1975, Petronas perlu membayar terus kepada kerajaan negeri Terengganu.

Ulasan