1000 orang dari Chukai untuk BERSIH 2.0

KEMAMAN - Pengerusi Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD Chukai, Haji Hanafiah Mat berkata, InsyaAllah, seribu orang peserta dari Chukai akan menyertai demonstrasi aman Bersih 2 pada Julai depan.

Menurutnya, ahli dan penyokong PAS dalam kawasan DUN Chukai terutama golongan muda begitu bersemangat menyertai program 'berjalan untuk demokrasi' (walk for democracy) itu.

"InsyaAllah, kita sasarkan seramai 1000 orang dari warga Chukai yang akan bersama 300,000 ahli dan penyuokong PAS seluruh negara menjayakan himpunan aman BERSIH kali yang kedua,

"walaupun Umno dengan segala cara, cuba menyekat BERSIH 2, namun semangat yang ditunjukkan pada malam ini cukup kuat,"katanya ketika ditemui skuad BO, selepas majlis ceramah bertemakan Himpunan tersebut yang diadakan dekat sini semalam.

Turut hadir dan menyampaikan ceramah serta maklumat terkini BERSIH adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan.

Hanafiah yang juga Penolong Setiausaha PAS Terengganu berkata beliau akan memastikan semua peserta perarakan itu bergerak dengan aman walaupun mungkin timbul provokasi dari pihak yang menyokong Umno.

Katanya, pihak polis mesti meletakkan diri mereka pada kedudukan yang betul sebagai pasukan keselamatan menjaga kepentingan rakyat, bukan menjaga kepentingan Umno.

"InsyaAllah, kita akan pastikan 'anak-anak buah' kita berdisiplin, bergerak dengan aman dan tidak hiraukan sebarang provokasi,

"kita harap pihak polis menjadi pasukan keselamatan yang sebenar, kerana polis dibiayai oleh cukai yang dikutip dari rakyat, bukan wang saku Umno,"tegasnya.

Beliau turut menyeru kepada semua rakyat, khususnya rakyat Terengganu, agar turun beramai-ramai tanpa rasa takut.

Tuntutan BERSIH, kata beliau, adalah untuk sistem pilihanraya yang adil dan mengembalikan demokrasi sebenar, bukan untuk melakukan 'huru-hara'.

Katanya, inilah masanya kepada rakyat untuk menyumbangkan suara mereka bagi masa depan Malaysia yang lebih baik.

Ulasan