Insentif petani sayur dan buah; Siapa berbohong...... Asha'ari atau Noh?

KUALA TERENGGANU - Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Asha’ari Idris.berkata, tunggakan pembayaran insentif kepada petani yang masih belum dijelaskan itu sebenarnya sudah diambil tindakan namun pihaknya masih menunggu pembayaran daripada pihak kementerian.

Asha'ari memberi alasan, pembayaran insentif berdasarkan produktiviti petani itu adalah bidang kuasa kerajaan pusat, bukan dibawah kerajaan negeri.


 “Ini sebab, pembayaran insentif ini bukan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri jadi kita harap petani bersabar kerana setiap masalah sentiasa diberi perhatian.

“Saya difahamkan pe-runtukan yang disalurkan melalui Agro Bank sudah habis digunakan untuk membayar insentif kepada petani sebelum ini dan perlu menunggu bajet lain. Saya harap mereka tidak akan membuat sebarang spekulasi negatif dan sekiranya terdapat baya-ran tertunggak ia akan diselesaikan segera,” katanya dipetik sebuah akhbar harian

Beliau berkata demikian ketika mengulas 50 petani dari Merang, Telaga Papan, Lembah Bidong dan daerah Setiu mendesak supaya Jabatan Pertanian menyelesaikan pembayaran insentif yang tertunggak sejak Oktober hingga Disember tahun lalu.

Mewakili rakan-rakan taninya, Ahli Jawatankuasa Persatuan Pengeluar Buah-buahan dan Sayur-sayuran Terengganu, Mohd Ariff Mohamad berkata, pembayaran insentif tertunggak itu bukan sahaja menimbulkan tanda tanya kepada petani, malah menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan aktiviti penanaman seperti biasa.

Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Pengeluar Buah-buahan dan Sayur-sayuran Terengganu, Haji Mohamad Said memberitahu, beliau telah maklum tentang perkara tersebut.

Tetapi katanya, berdasarkan jawapan Noh Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sebagaimana dilaporkan Berita Harian hari ini, beliau ragu dengan kenyataan Asha'ari.

Menurutnya, Noh tidak menyebut tentang soal insentif kepada hasil buah-buahan dan sayuran-sayuran.

"Apa yang dinyatakan oleh Noh, hanya soal insentif padi, yang akan dibayar melalui peruntukan tambahan, sebagaimana yang sedang di bentang di parlimen sekarang,

"tidak langsung Noh menyebut soal insentif buah-buah atau sayur-sayuran,"tegas Haji Mohamad ketika dihubungi.

Katanya, beliau akan menyemak dan mendapatkan maklumat dari pihak negeri Terengganu bagi memastikan samada dakwaan Asha'ari adalah sesuatu yang benar atau pun hanya 'penyedap mulut' sahaja.

Dalam maklumat yang ada pada Persatuan, kata Haji Mohamad, sehingga kini, belum ada apa-apa bantuan, insentif dan bayaran ganti rugi yang dijanjikan oleh kerajaan pada tahun lalu dan awal tahun ini diselesaikan.

Beliau turut memaklumkan, para petani kecil diseluruh negeri Terengganu begitu gelisah kini kerana tidak ada apa-apa bantuan input samada, baja, racun atau benih, yang diberikan oleh Jabatan Pertanian.

Perkara yang sama telah ditimbulkan oleh para petani di Setiu.

Mereka mendesak supaya insentif tahun lalu diselesaikan terlebih dahulu, sekiranya kerajaan mengambil keputusan untuk menamatkan skim tersebut.

Namun, mereka berharap kerajaan melalui Jabatan Pertanian dapat memberi bantuan input pertanian seperti baja, racun dan keperluan pertanian kepada petani kecil.

“Apa yang menghairankan, peruntukan dalam bidang pertanian seperti yang diluluskan dalam bajet baru-baru ini sangat besar,"kata Mohd Ariff mewakili rakan-rakanya.

Ulasan