Amalkan Negara Berkebajikan; PAS ucap takziah kepada kematian warga bukan Islam

KEMAMAN - Kepimpinan PAS Terengganu sudah lama mengamalkan konsep “Negara Berkebajikan” yang baru dirasakan diutarakan 'secara pakej' oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam Muktamar tahunan PAS baru-baru ini.

Antaranya adalah prihatin terhadap masyarakat majmuk dan ziarah menziarahi apabila tiba waktu kegembiraan di waktu perayaan ataupun tika saat-saat kepayahan melanda.

Justeru, apa berlakunya kematian sekali pun keatas orang bukan Islam, pemimpin PAS akan menjenguk, menumpang kesedihan.
[Gambar - Salah seorang ahli keluarga menceritakan kepada Hanafiah kejadian kemalangan yang menimpa Long Po Poong.]

Pada Sabtu, 30 Julai, sikap tersebut ditunjukkan oleh Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Hanafiah Mat telah melawat mendiang Long Po Poong, 65, di rumah mayat Kampung Dusun Nyior, Chukai, Kemaman.

Katanya, setiap manusia adalah insan yang sama dari keturunan Nabi Adam a.s yang akhirnya berpecah menjadi pelbagai suku kaum dan bangsa di dunia ini.

“PAS merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang Long Po Poong yang mati kemalangan langgar lari.

“Kita (PAS) harap balunya (Siew Moi) dan anak-anak sabar, tabah menerima dugaan (kematian) ini,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Chukai menyifatkan kes langgar lari itu tidak bertanggungjawab.

Harakah dimaklumkan, mendiang Po Poong meninggal dunia setelah dimasukkan ke Hospital Kuantan akibat kemalangan langgar lari yang berlaku di Jalan Jakar, Chukai, dekat sini.

Mendiang Po Poong merupakan seorang pekerja bengkel yang baik dan menetap di Kampung Feri Lama, Chukai.

Beliau meninggalkan seorang balu, Goh Siew Moi, 53, dan empat orang anak terdiri dari seorang lelaki dan tiga perempuan.

Siew Moi berkata, mendiang suaminya akan dikebumikan di tanah perkuburan jirat Cina Bukit Kuang.

“Mendiang seorang suami yang baik dan bertanggungjawab. Kami akan semadikan mendiang (Po Poong) di tanah perkuburan jirat (Cina) di Bukit Kuang.

“Saya ucap terima kasih kepada Hanafiah yang datang melawat kami di rumah mayat pada malam ini,” ujarnya.

Tinjauan di rumah mayat tersebut mendapati kehadiran bekas calon PAS Dewan Undangan Negeri (Dun) Chukai 2008 itu mendapat sambutan dan tepukan dari semua hadirin.

Bahkan, salah seorang dari kaum tionghua itu menjulang tangan Hanafiah serta memaklumkan ini “orang kita” dengan ucapan spontan “beres!!”.

Ulasan