PAS Besut lancar 'Operasi Tawan Besut' (OTB); Ulang kegemilangan 1999

 BESUT - PAS Terengganu telah pun meletakkan sasaran untuk menang disemua kerusi seluruh negeri bagi mengambil-alih pentadbiran dari kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, akan datang.

Justeru itu, PAS Kawasan Besut melancarkan program “Operasi Tawan Besut (OTB) 4+1” yang telah dirasmikan oleh Timbalan Presidennya , Haji Mohamad Sabu di Dewan Haji Salleh, Alor Lintah, Jertih, baru-baru ini.

Yang Dipertuanya, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata antara objektif penting dalam pelancaran program “OTB 4+1” adalah membina keyakinan dalaman dan luaran terhadap PAS sebagai pemerintah.


“Antara objektif penting program Operasi Tawan Besut (OTB) 4+1 pertamanya, untuk membina suatu keyakinan kepada ahli dan anggota-anggota masyarakat kita bahawa pilihan raya ke-13 ini akan membuka suatu laluan dan peluang kepada kita, untuk mengambil-alih empat kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan satu kerusi Parlimen di Besut,” ujarnya ketika berucap pada majlis perasmian tersebut.

Dalam pilihan raya umum ke-10 tahun 1999 PAS menyapu bersih kawasan Parlimen Besut ini dengan majoriti yang agak besar iaitu 3,259 undi, dimana PAS menang di Dun Kuala Besut dengan majoriti 487 undi, Dun Kota Putra (710 undi), Dun Jertih (1,464 undi) dan Dun Hulu Besut (598 undi).

Ia menggambarkan, katanya, PAS boleh mencapai kegemilangan tahun 1999 sekaligus mencapai sasaran menawan kembali empat Dun dan satu Parlimen di Besut.

Menurutnya, selain keyakinan, lonjakkan semangat bekerja di kalangan jentera PAS mesti ditingkatkan disemua peringkat.

“Bermula hari ini, Insya’Allah jentera kita (PAS) akan bekerja dengan lebih baik, lebih kuat dan lebih bersemangat kerana kita mahu mewarnai Parlimen Besut kita dengan warna hijau,” tegasnya dihadapan lebih 500 ahli dan petugas parti.

Sebab itu, katanya PAS berada bersama-sama dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat terdiri dari Parti KeADILan Rakyat (PKR) dan DAP.bagi meraih sokongan setiap masyarakat baik dari kalangan Melayu, Tionghua.

“Sokongan dan dokongan dari masyarakat tionghua yang teramai dalam Dun Jertih yang mencecah 700 pengundi tionghua. Insya’Allah, kita (bersama Pakatan) yakin dalam PRU Ke-13 ini, Allah SWT akan membuka ruang kepada kita untuk kita bekerja dan mencapai suatu matlamat untuk menguasai kembali pentadbiran dan pengurusan di peringkat negeri Terengganu dan di Parlimen Besut ini,” jelasnya.

Justeru itu, beliau mengarahkan agar segala jentera parti segera bersiapa ke arah kerja yang lebih baik dan bersemangat, mempelbagaikan pendekatan dan strategi.

Hadir sama pada majlis pelancaran tersebut Timbalan Pengerusi Cabang PKR Besut, Ariffin Abas, Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hing dan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Dr Bala Chandran.

Sempena majlis tersebut sejumlah 503 sijil keahlian baru PAS diserahkan oleh setiap wakil Dun kepada Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Ulasan