PRU ke-13; PAS Terengganu mesti menang kerusi Parlimen juga!

KUALA TERENGGANU - Program-program pembangunan dan pembaharuan yang dilaksanakan oleh kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat tidak cukup kuat sehinggalah Pakatan menguasai Putrajaya.

Setiausaha Perhubungan PAS Terengganu, Haji Yahaya Ali berkata, penguasaan kuasa di peringkat nasional berupaya menguasai politik rakyat secara keseluruhan.

"Program-program pembaharuan yang dilakukan oleh kerajaan Kelantan dan Kedah ada kekuatan tetapi tidak cukup kuat kalau kita tak dapat menguasai politik arus perdana di peringkat nasional,

"sebab di peringkat nasional banyak membuat polisi yang menguasai rakyat secara keseluruhan,"ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam program Nadwah Ulamak peringkat Kuala Nerus yang membincangkan pembangunan 'Negara Berkebajikan' di masjid Taqwa Batu Enam, pada Sabtu, 6 Ogos.

Oleh itu, beliau berkeyakinan, kemenangan PAS di negeri Terengganu pada pilihanraya umum ke-13 akan datang dapat membantu Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya.

Justeru, menurut beliau, kemenangan kerusi-kerusi dewan undangan negeri (DUN) mestilah disertai dengan kemenangan di peringkat kerusi parlimen.

Namun begitu, katanya, terdapat halangan-halangan yang mesti diatasi dalam usaha merealisasikan gagasan 'PAS Ganti Umno' tersebut.

Beliau yang juga bekas Exco kerajaan PAS Terengganu pada 1999 - 2004 berkata, antara perkara penting  yang mesti diberi tumpuan adalah penyampaian maklumat.

"Berdasarkan kajian, semasa kita (PAS) memerintah dahulu, maklumat tidak sampai kepada orang bawah, banyak kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan PAS, rakyat tidak tahu,"jelasnya.

Pada masa yang sama, katanya, banyak kejahatan, kezaliman dan penyelewengan yang dilakukakn oleh Umno dan Barisan Nasional juga tidak diketahui oleh rakyat.

Oleh yang demikian, menurutnya, segala kebajikan PAS telah ditenggelamkan oleh hasutan dan propaganda media arus perdana, sehingga rakyat tidak dapat memilih dengan tepat.

Hadir dan membentangkan kertas utama dalam program tersebut adalah Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, Dato' Ustaz Husin Awang.

Turut sama adalah Yang DiPertua PAS Kuala Nerus, Cikgu Shukrimun Shamsuddin dan Ketua Urusan Ulamak PAS Kuala Nerus, Ustaz Haji Abu Bakar Abdullah.

Ulasan